Hudud – Logik ke tak logik?

Kita lihat logik atau tidak logiknya hudud.

Hudud adalah sebahagian dari ajaran dalam Islam. Orang Islam berhak mengamalkan ajaran Islam. Sepertimana orang berugama lain, mereka berhak mengamalkan ajaran agama masing-masing.

Oleh itu orang Islam harus diberikan hak untuk mengamalkan ajaran mereka. Tetapi hak ini tidak diiktiraf oleh kerajaan BN dan ditentang oleh orang UMNO dan bukan Islam, khususnya MCA, MIC, dan DAP. Mereka bercakap tentang hak beragama dan mengamalkan agama, tetapi mereka tidak mengiktiraf hak orang Islam mengamalkan hudud sebagai sebahagian daripada ajaran agama Islam.

Di Kelantan, terdapat dua patung Buddha yang terbesar dalam Malaysia, malah dikatakan terbesar di Asis Tenggara. Pemerintah Islam Kelantan, dari PAS, tidak pernah menghalang orang berugama Buddha untuk mengamalkan ajaran agama mereka termasuk membina berhala terbesar dan melakukan upacara sembahyang dalam agama mereka.

Oleh kerana hudud tidak boleh dilakukan oleh orang perseorangan tetapi oleh kerajaan yang memerintah, maka hak untuk melaksanakan hudud agar ia dapat dihayati oleh orang Islam mesti diiktiraf dan diberikan laluan oleh pemerintah Pusat atau kerajaan Malaysia yang dikuasai oleh BN.

Mengapa  BN tidak beri laluan? Sebab dalam Perlembagaan Malaysia menyatakan mana-mana undang-undang yang diperkenalkan selepas merdeka dan yang bercanggah dengan peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan, maka ia terbatal dengan sendiri.

Kita beralih kepada logik atau tidak yang kedua.

Hudud adalah hukum Tuhan bukan hukum yang dibuat oleh manusia atau parti PAS. Hudud diperkenalkan oelh Tuhan yang menjadikan manusia. Oleh kerana Tuhan yang menjadikan manusia dan alam ini, Dia lebih tahu bagaimana hendak mengurus manusia dan alam. Hudud ialah satu mekanisma untuk mengawal keterlanjuran manusia. Kalau ada manusia yang telanjur maka ada batas-batas hukum untuk mereka.

Kalau lembu yang degil dan lari dari kawalan kita, kita boleh pukul. Kalau manusia meragut dan mencuri, kita boleh hukum mereka. Tetapi hukuman ini adalah hukuman yang diputuskan oleh manusia berdasarkan pemikiran mereka.  Sebahagianya berkesan dan sebahagiannya tidak berkesan. Kita ambil contoh hukuman ke atas orang yang memiliki dadah dalam jumlah tertentu, dihukum sampai mati tetapi bilangan orang memiliki dan mengedar dadah yang melampau berjumlah semakin besari.

Hukum ke atas orang buang anak, berzina, minum arak, berjudi, dan murtad tidak mengurangkan masalah gejala yang timbul malah terus meningkat. Mengapa? Sebab hukuman yang dibuat oleh manusia tidak berkesan.  Bukan manusia yang menjadikan manusia tetapi Tuhan yang menjadikan manusia, maka Tuhan lebih tahu bagaimana hendak menyelenggara manusia dan alam yang dijadikanNya.

Perumpamaannya sama dengan pembuat kereta BMW dan kerata Proton. Pembuat kereta BMW akan menyediakan manual untuk menyelanggara kereta BMW, begitu juga kereta Proton mempunyai manual penyelenggaraannya sendiri. Mana mungkin, kita boleh gunakan manual BMW untuk menyelenggara kereta Proton. Bukankah tidak logik tu?  Jadi pembuat kereta BMW lebih tahu kerenah yang akan berlaku pada kereta BMW yang semakin berusia. Begitu juga Tuhan lebih tahu bagaimana dan apa akan terjadi kepada manusia apabila ia semakin berusia dan apabila manusia semakin ramai. Tetapi mungkin kerana tidak faham, atau buat-buat tak faham, atau degil atau mungkin bodoh tak boleh diajar, atau mempunyai sikap bermusuhan agama, atau ada kepentingan tertentu, maka orang-orang yang begini akan terus menentang hudud.

Kita lihat pula logik atau tidak logik yang ketiga.

Sebahagian orang kaya dan berada memiliki rumah besar dan harta yang banyak.  Sebahagiannya rumah mereka dipagar khususnya di Malaysia. Kemudian ditambah pula dengan sistem senggera (alam sistem) dan ada juga memasang pagar yang mempunyai kejutan lektrik (electrik shock) dan ada juga yang memelihara anjing garang. Kesemua ini dibuat bagi melindungi keselamatan diri dan harta benda mereka. Langkah yang dilakukan ini bersifat “deterrent” iaitu satu konsep menghalang atau mencegah sesuatu dari berlaku.

Dengan adanya pagar, alarm system, electric gate, dan anjing garang, maka ia mencegah manusia jahat dari cuba memasuki premis orang kaya tadi, dan sekaligus melindungi keselamatan dan kesejateraan hidup orang itu.

Begitu juga dalam masyarakat. Hudud ialah suatu bentuk “deterrence’ untuk mencegah manusia daripada melakukan sesuatu yang melampau dan jahat serta boleh mengancam keselematan dan kesejahteraan manusia dan masyarakat. Apakah kita fikir apabila ada alarm system, electric gate, dan anjing garang di rumah orang kaya, manusia akan berebut-rebut untuk menceroboh premis itu? Sudah tentu tidak. Begitu juga soalan yang kita tanya adakah manusia akan berebut-rebut untuk membuat kejahatan yang melampau supaya tangan mereka dipotong, punggung mereka disula, badan mereka disebat dan leher mereka digantung setelah hukum hudud dijalankan? Memang tidak logik kan?

Tetapi ada manusia di negara ini mengatakan hukum Islam tidak sesuai dalam negara ini. Apakah mereka fikir Tuhan tidak tahu bahawa Malaysia akan memiliki manusia pelbagai etnik dan agama? Ada yang kata ia bukan ajaran Islam, tapi ajaran parti PAS. Ada yang mengatakan kalau dilaksanakan hukum hudud misalnya potong tangan ke atas pencuri, maka sungai di Malaysia akan menjadi  busuk akibat  tangan-tangan yang kena potong. Semua ungkapan inii mengundang kepada rosaknya aqidah orang Islam yang menyatakannya dan yang menyokongnya yang akhirnya  boleh membawa kepada murtad.

Kepada pembaca yang tidak tahu selok-belok hukum hudud dan tidak faham definisi, skop, syarat-syarat, cara pelaksanaan hudud, dan yang berkaitan dengannya, eloklah cari maklumat di google.com, dan bacalah, kajilah, terokalah, galilah, dan didik diri sendiri untuk menjadi rakyat yang bermaklumat sebelum menentang hudud dalam keadaan kita jahil atau tidak tahu atau bodoh dalam bab hudud ini. Educate yourself..happy reading.


		

5 thoughts on “Hudud – Logik ke tak logik?

  1. Malaysiakkini September 27, 2011 at 11:14 am Reply

    Hudud yang baik berjaya diburukkan

    http://www.malaysiakini.com/news/176957

    Dalam demokrasi, perlaksanaan sesuatu undang-undang atau dasar tertakluk kepada suara majoriti. Tanpa sokongan ramai, ia melahirkan penolakan. Hasilnya, kejayaan yang diimpi, tetapi kegagalan menjadi realiti.

    Kita tidak boleh sekadar berharap sesuatu impian yang baik sekadar tercapai. Tetapi, lebih dari itu, impian yang baik hendaklah kekal diamalkan. Inilah tuntutan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

    Oleh sebab itu, dalam kitab al-Muwafaqat tulisan Imam As-Syatibi, dinukilkan tindakan Umar Abdul Aziz yang tidak terus melaksanakan Islam secara total sejurus mengambil tampuk pemerintahan.

    Apabila Abdul Malik, anak kesayangannya bertanya tentang hal itu, beliau menjawab:

    “Jangan kamu gopoh wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya Allah mencela arak dalam al-Quran sebanyak dua kali, dan mengharamkannya pada kali yang ketiga.

    “Sesungguhnya aku bimbang dilaksanakan kebenaran (Islam) secara total, menjadikan rakyat menolaknya pula secara total. Ia merupakan fitnah”.

    Umar menjawab sebegitu kerana mementingkan kejayaan perlaksanaan Islam yang bersifat kekal, bukan sementara. Umar tidak berfikir untuk mencapai sesuatu impian sahaja.

    Umar berfikir lebih dari itu, iaitu bagaimana impian itu kekal diamalkan. Kebaikan pada Umar, bukan sekadar impian, tetapi kejayaan perlaksanaan.

    Perlaksanaan dalam syubhat

    Dalam sejarah Islam, diceritakan Saidina Umar al-Khattab pernah menangguhkan perlaksanaan hukuman potong tangan – salah satu hukum hudud yang termaktub dalam al-Quran.

    Ia ditangguhkan kerana ketika itu tertimpa tahun kelaparan. Kelaparan merupakan syubhat, kerana dibimbangi keadilan yang ingin dicapai, tetapi kezaliman yang terlaksana.

    Melaksanakan hukuman potong tangan terhadap pencuri adalah keadilan. Tetapi, memotong tangan pencuri yang mencuri di kala tiada makanan, dan sang pencuri mencuri itu pula dalam keadaan terpaksa, maka tindakan memotong tangan pencuri itu merupakan kezaliman.

    Ekoran itu, Saidina Umar menangguhkan perlaksanaan salah satu hukuman hudud tersebut.

    Di Malaysia, hukuman Hudud sudah menjadi buah mulut. Sejak 20 tahun dahulu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melontarkan idea ini. Dan ia diteruskan ketika PAS membentuk kerajaan di Terengganu dahulu.

    Namun, kelemahannya dari sudut penerangan kepada rakyat. Lebih-lebih lagi, propaganda Umno/BN agak kuat menyebabkan hudud yang baik berjaya diburukkan oleh Umno/BN.

    Makanya, kerajaan PAS yang mempunyai hasrat yang baik, tidak berjaya melaksanakan hasrat itu, malahan kalah dalam pilihan raya umum selepas itu.

    Dilema tidak memahami kebaikan hudud, melahirkan masalah yang cukup besar. Jika yang tidak memahami itu sebilangan kecil rakyat, ia tidak memberi kesan yang buruk, tetapi jika majoriti rakyat tidak memahaminya, perlaksanaan hudud melahirkan kesan yang amat bahaya.

    Dibimbangi, hudud yang baik itu bakal dilihat buruk oleh masyarakat. Walhal, ia tidak sepatutnya berlaku sama sekali.

    Padang demokrasi

    PAS berada dalam padang demokrasi, bukan padang monarki mutlak. Ia melibatkan suara majoriti rakyat dalam menentukan kejayaan perlaksanaan hudud diterima dan terus diamalkan.

    Tidak ada faedahnya hudud hanya berjaya dilaksanakan dalam jangka lima tahun sahaja, tetapi selepas itu hudud dibuang oleh rakyat jauh ke laut.

    Tetapi yang paling baik, hudud dilengahkan selama lima tahun, tetapi selepas lima tahun hudud itu diterima rakyat, dan berjaya dilaksanakan. Perlaksanaan itu berterusan sehingga bumi ini dibinasakan oleh Allah.

    Ekoran itu, tindakan yang perlu dilakukan (dicadangkan sasaran selama lima tahun sahaja) seperti berikut:

    Pertama:
    Menggerakkan usaha memahamkan hudud secara lebih berkesan. Ia tidak sekadar berlingkar di Kelantan sahaja, tetapi hendaklah meliputi seluruh Malaysia.

    Bentuk penerangan itu seperti mengadakan seminar, wacana dan sebaran risalah. PAS dan kerajaan PAS wajib mengambil peranan ini.

    Kedua:
    Mewujudkan NGO yang memfokuskan usaha memahamkan rakyat tentang hudud. Golongan ini terdiri dari kalangan mereka yang berkepakaran tentang hudud, dan mempunyai kebijaksanaan dalam menerangkan hudud dalam bentuk yang berhikmah.

    Mereka yang terlibat dalam NGO ini, hendaklah dilatih tentang cara dan pendekatan yang baik dalam mendepani sasaran yang belum memahami tentang hudud, agar penyampaian kandungan hudud kepada rakyat benar-benar memberi impak yang baik.

    Ketiga:
    Dianjurkan Seminar dan wacana yang berkaitan dengan hudud, dengan tidak boleh diabaikan wakil-wakil parti selain PAS. Jika PAS bentang kertas kerja tentang hudud, maka diminta wakil dari DAP dan PKR mengulas kertas tersebut. Seperti kertas kerja dibentang oleh Nik Aziz atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang, maka Karpal Singh atau Lim Guan Eng pula yang mengulasnya.

    Himpunan suara rakyat

    Sebelum kita bercakap soal perlaksanaan, seharusnya kita menyedari bahawa Malaysia sebuah negara demokrasi. Apabila rakyat secara majoriti mahukan hudud, DAP tidak bersetuju pun terpaksa akur dengan kehendak rakyat.

    Ini kerana, parti mereka juga parti yang mendokong demokrasi, sesuai dengan namanya Democtratic Action Party.

    Selagi kefahaman rakyat tidak diusahakan secara menyeluruh, dibimbangi perlaksanaan hudud tidak melahirkan kejayaan. Yang paling bimbang, sebaliknya melahirkan kegagalan dan dibimbangi dilihat buruk oleh rakyat.

    Sesuatu perlaksanaan hudud, jangan sekadar berfikir untuk tercapai impian sahaja, tetapi hendaklah difikirkan kejayaan perlaksanaan itu tanpa melahirkan penolakan yang merupakan mudarat lebih besar.

    Hanya berfikir untuk mencapai impian tanpa memikirkan kejayaan perlaksanaan yang baik merupakan tindakan yang gopoh, sedangkan gopoh itu dibenci oleh Allah SWT.

    Sabda Nabi SAW: “Gopoh itu sebahagian dari Syaitan”.

    Kaedah fekah ada menyebut: “Barangsiapa yang bergopoh terhadap sesuatu sebelum masa yang sesuai, ia akan diakibatkan pengharamannya”.

    Jadi, dalam hal ini, perlu diambil kira padang demokrasi dalam perlaksanaan Islam. Iaitu, PAS perlu mengambil himpunan suara rakyat untuk melaksanakan hudud.

    Ia bukan bermakna mendahulukan rakyat berbanding keputusan Allah, tetapi bertujuan mencapai kejayaan perlaksanaan yang jitu, baik dan harmoni, tanpa melahirkan penolakan dan pemburukan pada hukum Allah SWT itu.

    Penulis merupakan pendakwah bebas yang cencerung kepada pemikiran Imam As-Syatibi dan memfokuskan kajiannya dalam bidang Maqasid Syariah.

    Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini

  2. mazidah September 30, 2011 at 2:20 pm Reply

    Majlis Peguam: K’tan tidak ada kuasa laksana hudud

    http://www.malaysiakini.com/news/177349

    Undang-undang Keseksaan terletak di bawah bidang kuasa persekutuan dan bukannya negeri, dan oleh itu undang-undang hudud tidak boleh dilaksanakan oleh mana-mana negeri, kata Majlis Peguam.

    “Undang-undang, seperti yang ada, tidak membenarkan pelaksanaan hudud oleh negeri-negeri,” kata presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee dalam satu kenyataan hari ini.
    Kenyataannya itu merujuk kepada laporan bahawa negeri Kelantan telah mendapat mandat rakyat untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah II (1993).

    Lim (kanan) menjelaskan bahawa undang-undang yang digubal oleh negeri “tidak boleh termasuk perkara-perkara dalam kuasa perundangan kerajaan persekutuan”.

    Negeri, katanya, hanya boleh menggubal undang-undang yang berkaitan dengan kesalahan oleh penganut agama Islam, dan hukuman bagi kesalahan tersebut.

    Kesalahan tersebut, katanya, tidak termasuk yang telahpun diperuntukkan di bawah undang-undang persekutuan dan tidak boleh ada sebarang replikasi dengan undang-undang persekutuan, dengan hukuman yang berbeza bagi umat Islam.

    “Di samping itu, undang-undang ini, jika digubal, ia sendiri mesti selaras dengan kebebasan asasi yang dijamin kepada semua rakyat, termasuk orang Islam, di bawah Bahagian II perlembagaan persekutuan,” kata Lim.

    Menurut Lim, hudud, yang pada asanya undang-undang keseksaan, terletak di bawah bidang kuasa Parlimen persekutuan.

    Lim memetik kes Che Omar Bin Che Soh lawan Pendakwaraya [1988] di mana Mahkamah Agung ketika itu, telah memutuskan bahawa undang-undang Malaysia tidak perlu mengakuri prinsip-prinsip Islam, dan dengan itu “mengesahkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular”.

    Dengan mengambil prinsip tersebut, tambahnya, jika hudud dibawa masuk ke dalam sistem keadilan jenayah, maka ia akan menyebabkan pengimportan undang-undang keseksaan Islam ke dalam undang-undang yang sekular, yang mana salah di sisi undang-undang.”

    Pelaksanaannya, tegas Lim, akan menyebabkan undang-
    undang yang berbeza untuk orang Islam dan bukan Islam dan bertentangan dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukan kesamarataan untuk semua rakyat.

    Seseorang Islam juga, katanya, akan terdedah kepada dua pendakwaan atau sabitan berasingan: satu di bawah hudud dan satu di bawah kanun keseksaan, bertentangan dengan larangan terhadap perbicaraan berulang dalam Perkara 7 (2) perlembagaan persekutuan.

  3. PasPB February 5, 2012 at 3:32 am Reply

    Surat Mahathir tolak hudud dan amaran kepaa Kelantan laksana hudud! Mahathir akan guna Akta Darurat Kelantan untuk rampas Kelantan!

    PERDANA MENTERI MALAYSIA

    YAB Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
    Menteri Besar Kelantan

    Y.A.B. Tuan Haji,

    PENGUATKUASAAN KANUN JENAYAH SYARIAH II 1993 DI NEGERI KELANTAN

    Rujukan : MB(KN)(S)16/6/(26)
    Bertarikh 8 Jun 1994

    Pihak kerajaan pusat sentiasa berpandukan kepada kebijaksanaan (al-Hikmah) yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW. dan juga para sahabat baginda khususnya al-khulafa ar-Rasyidun dalam melaksanakan ajaran Islam lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan hukum-hukum jenayah.

    1. Jalan yang diambil oleh Kerajaan Pusat ini adalah juga berpandukan kepada kaedah yang terdapat dalam sistem pemerintahan Islam iaitu “tindakan pemerintahan adalah sentiasa bergantung kapada kepentingan ramai (muslihat umum).” Penguatkuasaan kanun jenayah yang digubal oleh Kerajaan PAS di Kelantan, menurut kajian sehingga setakat ini tidak menampakkan dan tidak menyakinkan pakar-pakar perundangan Islam yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik bahawa ia selari dengan ajaran dan kehendak Islam sebagaimana yang telah diuruskan dengan bijaksana oleh Rasulullah SAW. dan para sahabat.

    2. Sepertimana yang Amat Berhormat sendiri sedia ketahui, KEADILAN adalah ASAS yang paling utama ditekankan oleh agama Islam apabila melaksanakan sesuatu perkara. Penekanan mengenai dengan keadilan adalah sangat terserlah dalam ajaran Islam lebih daripada penekanan yang terdapat dalam ajaran-ajaran yang lain dalam sejarah agama. Baginda Rasulullah SAW sewaktu mengembangkan agama Islam ialah usaha menghapuskan ketidakadilan yang menjadi sebahagian daripada budaya di zaman itu.

    3. Tidak perlu bagi saya menyatakan disini betapa banyaknya terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan tentang pentingnya keadilan dan lebih banyak bagi ayat-ayat yang mencela sebarang jenis kezaliman. Disamping itu al-Quran juga sentiasa menggesa supaya dielak daripada terjadinya huru-hara dan Allah sendiri sangat tidak gemarkan kapada mereka yang menyebabkan huru-hara berlaku. Kita hanya bertindak balas terhadap sikap permusuhan dan serangan yang dilakukan terhadap kita. Di Malaysia, orang bukan Islam bukan sahaja tidak memusuhi kita tetapi mereka memberi kerjasama bahkan membantu kita dalam urusan-urusan yang bersangkutan dengan kegiatan dan amalan ajaran Islam.

    4. Khusus mengenai undang-undang jenayah PAS di Kelantan, kajian awal menunjukkan dengan jelas bahawa undang-undang itu yang disediakan menerusi perjuangan sebuah parti politik ternyata bukan sahaja menyebabkan ketidakadilan aakan berlaku tetapi, sebaliknya ia akan membawa kezaliman. Kebenaran kenyataan ini adalah berdasarkan kapada keterangan berikut:

    (i) Dakwaan bahawa undang-undang ini akan dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam sahaja dan tidak digunapakai untuk orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara berlaku. Memang benar di zaman Nabi Muhammad SAW., orang Yahudi biasa dihukum di bawah undang-undang yang berada di dalam kitab Taurat mereka tetapi kitab Taurat mempunyai hukuman yang tidak berbedza dengan hukum-hukum dalam al Quran. Mereka yang berzina umpamanya, akan dihukum rejam sama seperti hukuman terhadap jenayah yang sama bagi orang Islam. Justru itu tidak ada perbedzaan sama ada penjenayah dihukum di bawah undang-undang Islam atau Undang-undang Yahudi di zaman Nabi Muhammad SAW. Tetapi terdapat perbedzaan yang amat ketara di antara hukuman di bawah undang-undang yang ada sekarang dengan hukuman di bawah undang-undang jenayah yang dicadangkan oleh kerajaan PAS di Kelantan.

    Menghukum orang Islam dengan lebih berat tetapi orang bukan Islam dengan amat ringan untuk jenayah yang sama atau jenayah dilakukan bersama amatlah tidak adil dan merupakan satu kezaliman, sedangkan undang-undang PAS akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman berlaku, maka undang-undang PAS tidak boleh diterima sebagai undang-undang Islam atau secucuk dengan undang-undang Islam ataupun selaras dengan ajaran Islam. Ia sebenarnya tertentangan dengan agama Islam.

    (ii) Masaalah kesalahan merogol wanita, berdasarkan kapada undang-undang PAS, jika seseorang wanita yang belum kahwin melahirkan anak maka ini adalah bukti ia telah berzina dan akan dihukum mengikut undang-undang PAS, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah wanita itu adalah mangsa rogol. Mengikut undang-undang PAS jika ia menuduh perogolnya, tuduhan hanya boleh diterima sah jika terdapat empat orang saksi (yang terdiri daripada orang-orang yang baik, yang tidak melakukan dosa besar) yang menyatakan bahawa telah melihat dengan terang dan jelas bahawa yang dituduh telah merogol wanita berkenaan.

    Seperti kita ketahui, melainkan dalam keadaan perang seperti di Bosnia diwaktu mana orang Serb merogol beramai-ramai wanita Bosnia, tidak mungkin jenayah merogol dilakukan di hadapan saksi-saksi yang terdiri daripada orang-orang yang baik. Jika saksi ini melihat dan mereka tidak menolong wanita berkenaan, mereka boleh dianggap sebagai bersubahat seperti penjenayah-penjenayah Serb bersubahat dengan perogol daripada kaum mereka. Jika ada pun saksi, dan mereka tidak membuat apa-apa untuk menolong mereka tidak boleh dianggap sebagai terdiri daripada orang yang baik, tetapi disebaliknya dianggap sudah bersubahat. Dengan itu tuduhan mangsa rogol akan ditolak dan perogol akan terlepas.

    Keadaan di mana mangsa rogol dihukum salah kerana melahirkan anak di luar nikah dan perogol dilepaskan sebagai tidak bersalah kerana tidak ada saksi adalah sama sekali tidak boleh diterima oleh sesiapa pun sebagai sesuatu yang adil, bahkan aia adalah satu kezaliman yang dahsyat.

    5. Hukum Hudud Islam bertujuan untuk memberi keadilan kapada semua pihak. Ia bukanlah bertujuan untuk melakukan kezaliman. Undang-undang PAS jelas menunjukkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara akan berlaku. Justeru itu undang-undang yang disediakan oleh PAS bukanlah undang-undang yang menepati ajaran Islam. Ia hanyalah undang-undang ciptaan PAS yang bertentangan dengan penekanan oleh agama Islam yang menuntut supaya menghukum secara adil dan menolok sebarang kezaliman. Kerajaan Pusat akan sentiasa berpandu dan menerima ajaran-ajaran dan amalan Islam dari semua aspek tanpa diheret oleh kehendak organasasi politik yang mempunyai kepentingan yang lain daripada Islam dan kepentingannya .

    6. Jika undang-undang PAS yang jelas mengandungi unsur-unsur ketidakadilan dikuatkuasakan dinegara ini, dan jika ia dikatakan itulah Hukum Hudud Islam maka umat Islam dan juga anggota masyarakat bukan Islam akan hilang kepercayaan Islam membawa keadilan untuk penganutnya. Ia juga memberi gambaran yang buruk terhadap agama yang suci ini dan menjejaskan imej orang-orang Islam di kalangan penganut agama-agama yang lain. Ia tetap akan menyebabkan penganut agama lain menjauhkan diri daripada agama Islam dan menyebabkan orang yang berminat memeluk Islam menolaknya.

    7. Kerajaan Pusat tidak berhajat untuk bersubahat dengan PAS bagi melaksanakan ketidakadilan semata-mata untuk kepentingan politik dan sokongan oleh orang yang telah diabui matanya. Kerajaan Malaysia yang sentiasa dan terus mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam tidak dapat membenarkan Kerajaan Pas menjalankan sesuatu yang bercangah dengan prinsip keadilan dalam Islam, maka Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadapKerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam dan penganut-penganutnya.

    DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
    15 Julai 1994

    Kenapa Surat PM/Mahathir Berkuasa Menghalang Perlaksanaan Hudud di Kelantan?
    Kalau dilihat dari surat Perdana Menteri Mahathir Muhammad kepada MB Kelantan, Tok Guru Nik Aziz pada 15 Julai 1994, tidak nampak apa-apa yang bahayanya. Tiada sebut pasal MAGERAN, rampasan kuasa, penangkapan pimpinan2 PAS di bawah ISA, penggantungan DUN Kelantan dsbnya.

    Menaqal sedikit dari perenggan akhir surat Dr Mahathir itu:

    …….maka Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Kerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam dan penganut-penganutnya.

    DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD

    15 Julai 1994

    AKTA DARURAT KELANTAN 1977

    Ramai tidak sedar bahawa Kelantan masih di tertakluk di bawah Akta Darurat Kelantan 1977.

    Akta ini membenarkan kerajaan Pusat:

    1.0 Mengambil alih pemerintahan Kerajaan Kelantan
    2.0 Menggantung DUN Kelantan serta kesemua Enakmen-Enakmen yang telah diluluskan
    3.0 Menangkap sesiapa sahaja yang dilihat sebagai membahayakan keselamatan KElantan.

    Ramai yang menuduh Tok Guru Nik Aziz pengecut dan takut untuk melaksanakan hudud di Kelantan

    Ini kerana ramai yang tidak tahu menahu akan Akta Darurat ini.

    Apabila mantan Perdana Menteri telah memberi amaran keras untuk tidak melaksanakan hukum hudud, maka ia bermakna Perdana Menteri boleh menggunakan Akta Darurat 1977 untuk MENGAGALKAN perlaksanaan hukum tersebut di Kelantan.

    Apabila DUN telah digantung dan pentadbiran kerajaan negeri diambil alih kerajaan Pusat, secara otomatik hudud yang hendak dilaksanakan tadi tidak dapat dilaksanakan sama sekali.

    Maka, tindakan mantan Perdana Menteri/Mahathir tidak lebih dari tindakan Stalin dan Lenin yang telah menghapuskan sama sekali perlaksanaan undang2 Islam di negera2 Asis Barat satu masa dahulu.

    Seharusnya Maahthir dibicara di Mahkamah Syariah atas tuduhan murtad.

    Dan, Perdana Menteri sekarang lebih rela sujud pada pelakon porno dari menjalankan hukum yang diturunkan oleh Allah SWT. TB

    http://paspb2.blogspot.com.au/2012/02/bongkar-inilah-surat-yang-menjadi-sebab.html

  4. Isu Hudud « Jom Kita Baca March 25, 2012 at 4:22 am Reply

    […] Kebaikan hudud https://albangi.wordpress.com/2009/08/09/hudud-logik-ke-tak-logik/ […]

  5. Pro-hudud May 27, 2012 at 9:28 am Reply

    Kenyataan rasmi Dewan Pemuda PAS Malaysia berkenaan isu ini seperti yg diisukan oleh Ketuanya, Ustaz Nasrudin Hassan pada tahun 2011 yang lalu;

    “1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah mengemuka satu kenyataan ketika menjawab soalan lisan daripada Er Teck Hwa [DAP] bahawa Mahkamah Syariah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010. [Er Teck Hwa meminta perdana menteri menyatakan jumlah permohonan murtad bagi penganut Islam dan berapakah jumlah yang diluluskan mengikut negeri sepanjang sedekad yang lalu.]

    2. Ertinya aqidah ummat Islam sememangnya berdepan dengan isu yang mesti ditangani oleh seluruh ummat Islam tanpa melihat apa fahaman ideologi politik mereka khasnya mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin. Isu aqidah adalah Isu utama yang melepasi sempadan politik justeru ia berkait masa depan ummah di akhirat kelak.

    3. Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mempunyai Front Bertindak Anti Murtad [Forkad] untuk menangani isu pencemaran aqidah khasnya berkait dengan kes murtad dalam negara kita. Insyaallah Forkad akan terus berperanan khasnya operasi pembenterasan usaha memurtadkan ummat Islam dan operasi pemulihan aqidah bagi muslim yang tercemar aqidah dan keliru terhadap pegangan agamanya.

    4. Dewan Pemuda PAS Malaysia bersedia memberi kerjasama dengan semua pihak untuk menjadi benteng mempertahankan aqidah ummat Islam. Komitmen ini selaras dengan dasar perjuangan PAS yang tidak pernah berubah. Justeru itu kita sokong JAIS yang bertindak untuk menyelamatkan aqidah ummat Islam dan kita konsisten dalam perkara ini.

    5. Namun dalam masa yang sama, JAIS juga mestilah bermuhasabah malah jika jelas JAIS tersalah langkah, mestilah memohon maaf kepada ummat Islam di atas tindakan mereka meroboh, merantai dan menutup rumah Allah seperti yang pernah berlaku pada Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi, Masjid Kampung Berembang di Ampang, Masjid Fatimah az Zahra’ Taman Kosas Ampang dan lain – lain. Begitu juga mengenai tangkapan yang dilakukan ke atas penceramah – penceramah hanya kerana kesalahan tidak mempunyai tauliah sedang JAIS boleh mengeluarkan tauliah kepada penceramah tersebut untuk membolehkan mereka berdakwah.

    6. Sedang rumah Allah inilah menjadi “port” untuk memantapkan ilmu dan amal ummat Islam serta penceramah – penceramah inilah pula menjadi “agen” untuk menyelamatkan aqidah ummat Islam dari musibah murtad yang melanda negara.

    7. Murtad yang berlaku dalam negara kita mempunyai beberapa faktor pendorong yang ketara. Samaada faktor itu kecil atau besar, ianya perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak khasnya pihak berkuasa negara dan juga pihak berkuasa negeri. Zaman ini adalah zaman yang disebut oleh ulamak sebagai zaman “Riddah wa Laa Aba Bakrin Laha” iaitu : Gejala Riddah dan Tiada Abu Bakar Menanganinya”

    8. Sejarah Islam telah melakarkan format tindakan Abu Bakar as Siddiq Rha dalam memerangi murtad di hari pertama musibah murtad ini tercetus. Begitu juga di sepanjang zaman khulafa’ ar Rasyidin yang mendapat petunjuk daripada Allah swt. Maka kesimpulan yang diambil oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui mesyuaratnya yang berlangsung pada 13 August 2011 ialah :

    a] mendesak Akta Murtad dilulus oleh Parlimen Malaysia dan dilaksanakan dalam negara kita. [ Pada 25 Mac 1988, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi malangnya ditolak. Selepas itu, pada 2 November 1999, Tuan Guru sekali lagi tidak dibenarkan membentang rang undang-undang persendirian untuk mencegah murtad. Demikian juga pada sidang Parlimen yang bermula pada Mac 2006, Yb Salahudin Ayub Ahli Parlimen Kubang Kerian telah mengemukakan rang undang-undang persendirian yang dinamakan Rang Undang-Undang Murtad. ]

    b] mengusulkan agar Kementerian Pelajaran mewajibkan silibus pengajian agama sebagai silibus wajib ambil dan wajib lulus dalam semua jenis dan peringkat sijil peperiksaan.

    c] menggesa supaya agensi seperti Pusat Pungutan Zakat, Baitul Maal dan lainnya dapat membuat agihan yang adil dan tepat kepada golongan yang memerlukannya termasuk membantu menaikkan taraf kehidupan mereka.

    d] mencadangkan supaya agensi berikut membiayai atau mengeluarkan peruntukan untuk menghantar pendakwah Islam ke kawasan perlu seperti pendalaman, perkampungan orang asal, Sabah dan Sarawak.

    e] mendesak supaya pihak berkenaan dan berwajib membuat tambahan pegawai agama di semua sektor agar dakwah Islam dapat digerakkan secara sistematik dalam negara kita.

    f] mendesak kerajaan menukar kembali cuti hari Ahad kepada hari Jumaat seperti di negeri Johor dan Perlis sebagai hari kebesaran ummat Islam.

    g] mengekang sebarang aktiviti yang melemahkan iman, akhlak dan pemikiran ummat Islam seperti hiburan keterlaluan, pergaulan bebas dan apa jua aktiviti maksiat dan mungkar.

    9. Dewan Pemuda PAS Malaysia juga tidak mahu berlakunya pelanggaran hak non muslim yang telah dipelihara oleh syara’ seperti menafikan hak mereka melaksanakan aktiviti agama mereka termasuk melakukan pencerobohan terhadap hak non muslim.

    10. Ummat Islam mestilah peka dan sensitif dengan sebarang bentuk aktiviti yang boleh merosakkan nilai aqidah dan keperibadian mereka sebagai seorang muslim. Serentak itu menjadi tanggungjawab setiap individu muslim mendalami agama Islam melalui sumbernya yang betul agar keyakinan atau pegangan agamanya tidak mudah tergugat dan tercemar.”

    Jadi atas alasan apa kita mahu menunding jari ke arah PAS dan pihak PR berkenaan isu murtad ini? Perlu aku imbas kembali bahawa PAS telah beberapa kali membawa usul akta murtad ini di Parlimen. Pada Mac 2006, Hj Salahuddin Ayub (kini Naib Presiden PAS) telah mengemukakan rang undang-undang persendirian yang dinamakan Rang Undang-Undang Murtad. Malangnya Rang undang-undang itu bukan sahaja tidak dipedulikan oleh ahli-ahli Parlimen Umno malah ditolak mentah-mentah.

    Kemudia, beliau sekali lagi mengemukakan usul yang juga meminta Dewan Rakyat mewujudkan undang-undang mencegah murtad seperti meminda Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan peruntukan yang jelas menghalang individu Islam daripada secara bebas mengisytiharkan diri keluar daripada agama Islam. dan Usul itu juga tidak dipedulikan oleh kerajaan dan ahli-ahli Parlimen Umno.

    Sebelum itu pada 25 Mac 1988, Tuan Guru telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi ditolak. Selepas itu, pada 2 November 1999, Tuan Guru juga tidak dibenarkan membentang rang undang-undang ahli persendirian untuk mencegah murtad.

    Jadi bagaimana hendak membasmi gejala murtad kalau hal perlembagaan pun kita fail? Kalau akta yg melindungi akidah umat Islam itu tidak diwujudkan? Melalaklah si Hasan Ali sekuat mana pun, ini akan tetap terus berlaku.

    Sebagai menambah perisa dan fakta, mari kita renung kembali apa yg telah berlaku kepada Tun Salleh Abbas berhubung ketegasannya dalam menangani (dan memelihara akidah) seorang budak perempuan cina yang bernama Suzie Teoh, atau Nur Aini (1990).

    Dalam kes Suzie Teoh, seorang budak perempuan dari Kelantan umur 16 Tahun telah peluk Islam atas kerelaan sendiri. Bapa dia tak suka, lepas tu saman anak sendiri dan saman Majlis Agama Islam Negeri Kelantan, heret anak dia ke mahkamah persekutuan. Dia mohon pada mahkamah agar istiharkan anak dia masuk Islam tak sah.

    Masa tu, Tun Salleh Abas yang jadi hakim. Beliau seorang yang alim dan warak. Bila dihadapkan dengan kes Suzie Teoh, Tun salleh terpaksa buat perisytiharan berikut, “Dibawah Perlembagaan Persekutuan, hak seorang anak tertakluk dibawah jagaan ibubapanya selagi belum cukup 18 tahun. Kalau nak tukar agama, kena minta kebenaran ibu bapanya. Semasa Suzie Teoh masuk Islam, berumur 16 tahun. dia tak sah peluk Islam.”

    Atas kearifan dan iman Tun Salleh Abas, dia simpan fail tu dalam lacinya selama 2 tahun. 2 tahun kemudian, lepas hari jadi Suzie Teoh yang ke 18 tahun, dia buka balik kes itu dan bagi peluang Suzie isytiharkan agamanya sendiri. Selepas ditanya oleh Tun Salleh, Suzie dalam pengakuannya berkata, “Saya yang arif, kekal dalam agama saya (Islam), saya masih nak nama Nur Aini.”

    Maka Tun Salleh Abas pun memutuskan bahawa Suzie Teoh telah sah memeluk Islam dengan namanya Nur Aini. Selamat akidah seorang budak. Sebab itu jugalah Tun Salleh Abas kena buang atas 5 tuduhan. Tuduhan kedua atas sebab melengahkan kes seorang budak tanpa sebab selama 2 tahun. Itulah harga yang Tun Salleh Abas terpaksa bayar.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: