Monthly Archives: September 2009

Pendidikan Seks di Malaysia

20101002-pendidikan-seksIsu pendidikan seks sebenarnya bukan satu isu kontroversi.  Ia menjadi kontroversi bila ada orang yang cuba mensasikan isu ini khususnya individu, pemimpin, dan  NGO yang ada kepentingan tertentu dalam negara ini.

Untuk mudah memahami pendidikan seks ini, kita mulakan dengan agama. Agama yang lebih jelas memberi garis panduan dalam pendidikan seks ini ialah Islam. Kita boleh bincangkan pandangan agama lain dalam isu pendidikan seks ini jika ada pengunjung yang sudi memberi komen dan maklumat.

Di dalam Islam, pendidikan seks berlaku secara formal dan tidak formal serta diinstitusikan melalui ajaran/peraturan di bawah ini. Pada setiap tindakan di dalam kategori ini tersirat pendidikan mengenai beza jantina lelaki-perempuan, batas-batas antara keduanya, dan hubungan seks antara keduanya

  • KELAHIRAN: wajib anak lelaki dan anak perempuan dikhatankan.
  • RUMAH: wajib sebuah rumah ada minima 3 bilik: bilik ibubapa, bilik anak lelaki, dan bilik anak perempuan
  • TEMPAT TIDOR: wajib anak lelaki dan perempuan dipisahkan tempat tidor mereka apabila mereka sudah akil baligh
  • PERGAULAN: hubungan sosial yang terkawal, tidak bersentuh lelaki perempuan, mengawal mata antara jantina
  • AURAT: lelaki – antara pusat dan lutut wajib ditutup; perempuan – seluruh tubuh badan wajib ditutup kecuali muka dan tapak tangan serta buku lali kaki ke bawah
  • PAKAIAN: pakaian lelaki harus menutup aurat; pakaian perempuan harus menutup aurat serta  tidak nipis, tidak ketat
  • KELUARGA: perkahwinan antara lelaki dan perempuan
  • HUBUNGAN SEKS: pelakuan yang sopan, tertib, dan bersih; haram semasa perempuan ketika datang bulan; haram cara tidak tabiie

Inilah antara ajaran/peraturan umum dalam Islam mengenai pendidikan seks. Perincian bagi setiap katgeori di atas boleh dirujuk dalam kitab-kitab hadis dan akhlak.

Pendidikan seks secara khusus pula (termasuklah bab bersanggama, hubungan seks) berlaku melalui kuliah, kelas pengajian, dan majlis muzakarah ilmu yang biasanya dikendalikan di masjid dan surau. Selain daripada itu, terdapat banyak buku-buku khusus menjelaskan dengan lebih lanjut dan terperinci (explicit dan implicit) mengenai topik pendidikan hubungan seks dari kacamata Islam.

2 persoalan yang harus dijawab? Pertama, adakah agama lain daripada Islam mempunyai ajaran/peraturan dalam pendidikan seks? Kedua, adakah penganut Islam mengamalkan ajaran/peraturan dalam mendidik anak-anak dan masyarakat mengenai pendidikan seks?

Jika tidak, maka kita boleh faham mengapa ada kelompangan dalam pemahaman masyarakat kita yang pelbagai kaum dan agama serta di kalangan Muslim yang jahil agama.

Bagaimanapun, dalam amalan umum, kita mendidik ahli masyarakat kita melalui proses sosialisasi beza antara lelaki dan perempuan melalui cara berpakaian dan penggunaan tandas.

Dalam pendidikan sains di sekolah, sejak dari  Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 lagi, memang ada bab pelajaran mengenai organ lelaki dan perempuan, proses pensenyawaan telor lelaki-perempuan yang membawa kepada penghamilan, proses melahirkan anak, dan proses perkembangan anak-anak. Malah pelajar diuji untuk mengingat fakta-fakta dan diuji memberi jawapan kepada masalah yang dikemukakan dalam peperiksaan. Ini adalah pendidikan seks! Mengapa ada pihak kata tidak ada pendidikan seks di sekolah?

Apakah ada pandangan yang mahukan pendidikan seks harus meliputi persembahan atau demonstrasi bagaimana melakukan hubungan seks? Bagaimana mengelak daripada mengandung? Bagaimana menggugurkan anak? Bagaimana mengelak dari penyakit kelamin atau HIV? Apakah ini antara pekara yang harus didedahkan kepada pelajar di sekolah?

Isu sebenar dalam pendidikan seks di sekolah ialah terdapat lompang dalam ilmu yang diajar iaitu tidak ada pengajaran nilai-nilai atau moral yang digandingkan dalam pengajaran ilmu sains mengenai topik tersebut. Alangkah baiknya kalau Kementerian Pelajaran boleh sediakan sisipan peraturan/ajaran moral/amaran dalam hubungan seks lelaki-perempuan, antara lain

  • hubungan seks dalam perkahwinan adalah sah di sisi undang-undang
  • hubungan seks luar tabii, termasuk homoseks dan lesbian, adalah salah di sisi undang-undang  dan boleh memudaratkan diri
  • mengandung di luar nikah adalah salah di sisi undang-undang dan akan menjatuhkan maruah keluarga dan diri sendiri
  • anak yang dikandung di luar nikah akan hadapai pelabagi masalah mental, emosi, dan status dalam masyarakat
  • hubungan seks ketika dalam pantang (haids atau nifas) adalah salah dan memudaratkan
  • hubungan seks dengan pelacur, penagih dadah, dan bertukar pasangan adalah salah dan boleh memudaratkan serta membawa kepada penyakit kelamin  dan HIV-AIDS
  • dan ditunjukkan dalam sisipan itu foto-foto penyakit akibat dari seks bebas, seks di luar tabiie, dan seks dalam pantang; dipaparkan juga foto mereka yang dikenakan hukuman kerana kesalahan di atas bagi tujuan memberi kesedaran kepada pelajar; ini adalah sebahagian dari proses pencegahan.

Ilmu sains mengenai pendidikan seks yang diajar di sekolah hanya bersifat artificial kerana tidak ada roh (moral rohani)  yang diserapkan di dalam proses pembelajaran mengenai seks.

Tetapi mendidik sahaja tidak mencukupi jika tidak ada

  • pencegahan (prevention),
  • pemantauan (monitoring) dan penguatkuasaan atau pelaksanaan hukum (reinforcement), dan
  • pencelahan (intervention)
  • pemulihan (rehabilitation)

Apabila berlaku pergaulan bebas dan melampau, maka tidak mustahil berlaku hubungan seks luar nikah. Apabila mengandung luar nikah, maka akan timbul masalah yang berlarutan.

Oleh itu, dalam program pendidikan seks, harus ada proses pencegahan. Dalam Islam, proses mencegah itu termasuklah umatnya diarah jangan dekati zina; rendahkan mata pandangan antara lelaki dan perempuan; pakai pakaian yang sesuai serta menutup aurat; dan bergaul lelaki-perempuan dalam batas-batas yang dibenarkan.

Di sinilah peranan ahli politik, wakil rakyat (ADUN), ahli Parlimen,  hakim, pegawai keselamatan (polis), dan orang ramai yang harus mendukung undang-undang, bukan melihat undang-undang dan membisu seribu bahasa dalam melaksanakan 4 langkah di atas selepas pelajar dididik di sekolah mengenai asas pendidikan seks.

Antara proses pencegahan yang perlu dilakukan ialah menghadkan penjualan kondom, memantau  menghadkan bilangan pusat hiburan serta pergaulan bebas, memantau dan mengambil tindakan tegas ke atas penerbitan dan pengedaran bahan lucah, dan memusnah rangakaian aktiviti pelacuran.

Tahukah anda bahawa di Malaysia terdapat lebih 150 ribu pelacur berdaftar?  [Dario Agnote (1998). Pelacur di Malaysia seramai: 142,000 pelacur; 8,000-10,000 in Kuala Lumpur. “Sex trade key part of S.E. Asian economies” Kyodo News, 18 August 1998 www.catwinternational.org/fb/Malaysia.html. (CATW – Asia Pacific, Trafficking in Women and Prostitution in the Asia Pacific). International Labour Organization.] Bagaimana pula dengan pelacur yang tidak berdaftar di rumah urut dan SPA? Bagaimana dengan khidmat pelacur yang berselindung di sebalik iklan urut dalam akhbar dan majalah? Di mana tanggungjawab KDN, tutup matakah? Dimanakah JAKIM, tutup matakah? Apakah Jabatan Hasil Dalam Negeri tidak mahu memantau dan menutip cukai atas perniagaa yang dibuat secara haram melalui iklan urut dalam akhbar? Di mana tanggungjawab penerbit akhbar? Apakah al-fulus fi dunia yang lebih penting atau maruah bangsa dan agama yang lebih utama?

Apa yang berlaku hari ini ialah apabila PDRM atau akhbar menunjukkan statistik bilangan perempuan mengandung luar nikah dan melahirkan anak luar nikah semakin meningkat, maka Pak Menteri dan Mak Menteri akan menyalahkan dua pihak: ibubapa yang tidak tahu mendidik anak dan remaja yang tidak ada pendidikan seks. Tetapi Pak Menteri dan Mak Menteri itu lupa 4 proses lagi yang tidak dijalankan dengan bersungguh  oleh agensi kerajaan!

Dalam laporan kajian oleh Durex & Durex, Malaysia dikategorikan sebagai negara yang mengamalkan seks luar nikah di kalangan remaja Malaysia dengan purata 62 kali setahun (kajian 2001) dan 86 kali setahun (kajian 2004) berbanding dengan purata golbal 103 kali setahun.  Statistik ini agak tinggi berbanding dengan amalan seks luar nikah di kalangan remaja Jepun yang  mencatatkan 46 kali setahun (kajian 2001). Manakala remaja perempun kehilangan dara di Malaysia di waktu usia yang muda iaitu ketika berumur 20 tahun (kajian 2001) 20 tahun dan ketika berumur 19.3 tahun (kajian 2004).

Bagaimana dengan statistik 2007?? Lawatilah http://yesboleh.blogspot.com/2007/04/durex-global-sex-survey-2007.html.

Apakah Pak Menteri dan Mak Menteri akan menyalahkan ibubapa dan remaja berkenaan sekali lagi dan tidak mahu melihat 4 proses yang tidak dijalankan oleh agensi kerajaan? Apakah pendidikan seks di sekolah sahaja sudah mencukupi? Apakah cara mengajar pendidikan seks di sekolah itu berkesan tanpa pendidikan moral hubungan seks?

Sukar disangkal bahawa kos merawat dan memulih adalah lebih tinggi dari kos mencegah. Apabila sudah berlaku sesuatu yang buruk dan negatif  akibat dari pergaulan bebas, seks rambang, seks luar tabiie, dan sumber bahan lucah yang tidak dikawal, maka kos bagi menangani gejala sosial bagi setiap satu itu boleh digunakan untuk menyara ratusan anak yatim piatu, memberi makan ratusan orang miskin, dan membiayai pelajaran anak-anak remaja belajar di universiti.

Apabila pendidikan seks tidak digandingkan dengan pengajaran moral, tidak disusuli dengan pencegahan, pemantauan dan pelaksanaan undang-undang, maka pendidikan seks itu umpama melepas batuk ditangga.  Ia hanya main-main sahaja dan menjadi satu kepura-puraan oleh pihak berwajib.

Saya harap mendapat reaksi dari orang bukan Islam mengenai pendidikan seks dalam agama mereka agar saya juga dapat belajar dari mereka mengenai hal ini.

Pakai tudung vs tutup aurat

Di zaman70an, cukup sukar untuk melihat wanita Muslim pakai tudung. Nisbahnya sekitar 1:50. Satu pakai, 50 tak pakai. Di pertengahan zaman 80an, sudah ada kelihatan ramai wanita Muslim pakai tudung. Nisbahnya 1:10. Satu pakai, sepuluh tak pakai. Zaman 90an menyaksikan lebih ramai pakai tudung, dan yang tak pakai tudung sudah berkurangan. Nisbah 10:3. 10 pakai tudung, 3 tak pakai. Di zaman 2000 ke atas, 10 pakai tudung, 1 orang tak pakai tudung.

Tetapi yang pakai tudung ada bermacam ragam dan ada yang pakai tudung kerana pelbagai tujuan.

  • Ada yang pakai sebab ikut-ikut
  • Ada yang pakai sebab malu kalau tak pakai
  • Ada yang pakai sebab trend wanita Muslim pakai tudung
  • Ada yang pakai sebab ia adalah uniform sekolah atau sebahagian dari pakaian tempat kerja
  • Ada yang pakaia sebab ada perturan suruh pakai seperti di dalam masjid atau di pasar Kadijah
  • Ada yang pakai sebab takut pada mak ayah
  • Ada yang pakai kerana iman dan taqwa

Apa pun, menutup kepala adalah sebahagian daripada ajaran Islam dalam  menutup aurat bagi wanita. Tetapi tutut rambut sahaja tidak cukup kalau tidak tutup aurat dengan cara yang betul.

  • Ada yang pakai tudung, tetapi nampak jambul; rambut masih terurai di depan dan di belakang
  • Ada yang pakai tudung, tetapi tidak tutup dada
  • Ada yang pakai tudung, tetapi masih nampak bayangan rambutnya kerana kain tudung yang nipis.
  • Ada yang pakai tudung, tetapi pakai T-shirt hingga nampak bentuk rupa ketulan badan dan kulit tangan
  • Ada yang pakai tudung, tetapi memakai seluar hingga menampakkan lingkaran tubuh bahagian bawah pusat hingga ke lutut
  • Ada yang pakai tudung, tetapi memakai skirt hingga menampakkan betis
  • Ada yang pakai tudung, tetapi masih nampak leher
  • Ada yang memakai tudung, tetapi masih pakai pakaian yang ketat atau transparent

Kalau begitulah keadaannya, sebenarnya wanita Muslim itu belum lagi menutup aurat yang sempurna. Dia baru nak berjinak-jinak dengan agama sepertimana muallaf yang berjinak dengan agama.  Setengah orang kata, dia tidak serius, dia tidak ikhlas, dia tidak jujur, atau dia tidak faham cara memakai tudung dan menutup aurat yang betul dalam Islam. Ringkasnya ia masih jahil dalam bab menutup aurat. Bagi yang sudah tahu tetapi masih berkeras tidak mahu memakai tudung dengan cara yang betul, maka ia masih engkar pada Allah.

Hari ini apabila ramai wanita mahu memakai tudung, maka pereka fesyen dan peniaga mengambil kesempatan merekabentuk fesyen supaya pemakainya boleh memilih pelbagai rupa bentuk fesyen tudung.  Pereka fesyen dan peniaga mencari keuntungan di atas permintaan dan trend wanita Islam memakai tudung tanpa mengira samada rekaan fesyennya atau jualan tudung itu memenuhi syarat pakaian tudung dalam Islam.

Akhirnya direka dan dijuallah tudung tiga segi yang pendek dan kontot hingga tidak dapat menutup dada dan ketulan daging tubuh wanita. Adakah pereka dan penjual akan terlepas dari hukum Tuhan kerana menyedia dan menjual tudung seperti itu?

Akhirnya direka dan dijuallah tudung yang kain yang mahal dan rupa yang menarik sehingga pemakainya berlumba-lumba menunjuk kemewahan dan menunjuk lagak kain siapa yang lebih mahal dan lebih cantik? Timbullah riak dan iri hati.

Salahkah bermewah? Salahkah beli kain tudung yang mahal kalau kita mampu? Salahkah berfesyen bila memakai tudung? Tidak salah, asalkan

  • tutup rambut selengkapnya
  • melabuh tudung hingga menutup dada
  • bahagian lain pada tubuh badan wanita juga ditutup dengan dengan pakaian longgar, termasuk melabuh kain baju ke paras peha dan pinggul jika memakai seluar
  • memakai tudung dengan iman dan taqwa

Apa pun, manusia ada nafsu. Kadang nafsu mengatasi iman dan akal. Itu urusan dia dengan Allah.

Kalau iman dan taqwa tinggi, ia akan tunduk pada peraturan cara memakai tudung yang betul dan menutup aurat dengan sempurna.

Kalau tepuk dada tanya selera, maka ia akan utamakan nafsu. Kalau tepuk dada tanya iman, dia tidak banyak cakap, tidak banyak berkira, tidak banyak kompromi lagi. Dia tahu dia hanyalah salah satu ciptaan Allah, dan dia akan kembali kepada Allah dan berhadapan dengan Allah serta menjawab pelbagai soalan mengenai auratnya.

Tun Mahathir – elok berehat, cukuplah

Tun Mahathir, nama yang tidak asing lagi pada rakyat Malaysia dan dunia seluruhnya. 22 tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia. Jasanya memang banyak pada rakyat Malaysia terutama pembangunan fizikal dan pembangunan minda dan daya keyakinan diri. Tetapi dosanya pada Tuhan dan umat Islam, Tuhan sahaja yang tahu.

  • Dia pernah bawa kemajuan, tapi dia juga pernah hina janggut Nabi.
  • Dia pernah kata “Malaysia negara Islam” tapi dia juga pernah kata hukum Islam tidak sesuai dalam masyarakat majmuk
  • Dia pernah bawa konsep “Malaysia Boleh”, tapi dia juga yang buat polisi penghapusan bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan Matematik kerana katanya remaja Malaysia tidak pandai berbahasa Inggeris.
  • Dia pernah perkenal sistem kuota dalam pemilihan UMNO, tapi kini dia juga sokong hapuskan sistem kuota
  • Dia pernah bawa masuk Anwar Ibrahim dan Isa Samad, tapi dia juga yang menolakdan membuang  keduanya.
  • Dia bawa Samy Velu ke dalam BN, kini dia tak mahu Samy Velu terus memegang jawatan Presiden MIC (Samy akan pecah rekod guiness menjadi Presiden parti politik palng lama dalam Malaysia, mungkin dalam dunia, jauh lebih lama dari Tun)
  • Dia pernah itu..dan pernah ini….dan 1001 macam lagi kalau kita hendak ulas.

Sebagai rakyat Malaysia, kita rasa cukuplah Tun buka mulut secara terbuka walaupun kita tidak menghalangnya berbuat demikian. Jangan sampai nanti jasanya dulu tidak dihargai lagi oleh rakyat Malaysia. Kalau Tun ada cadangan untuk UMNO atau negara, sampaikanlah terus pada anak-anak buahnya dalam BN. Jika tidak,  ia hanya merugikan BN.  Tun boleh menjadi liabiliti kepada BN, bukan sahaja Samy Velu yang dikatakan liabiliti kepada BN. Kekalahan BN 1999 adalah kerana Tun. Kekalahan BN dalam 2008 juga kerana warisan yang ditinggalkan oleh Tun.

Kalau Tun terus campurtangan dalam politik negara, khususnya, dalam UMNO dan  BN, Tun akan menyaksikan kejatuhan BN seterusnya dalam PRU ke 13. Tun akan menjadi ‘living liablity’ kepada BN.

Kalau Tun ada cadangan yang baik untuk rakyat, eloklah ia sampaikan dalam blognya atau secara terbuka dalam media tanpa mengaitkannya dengan kepentingan politik mana-mana parti parti tetapi untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

Bekas Presiden Amerika, seperti Henry Ford, Jimmie Carter, Ronald Reagan, dan George Bush pun tidak campur tangan dalam politik Amerika secara terbuka selepas bersara. Tun tidak payah tiru macam Lee Kuan Yiew. Lee Kuan Yiew buka juga mulut tetapi dia tidak hentam kerajaan Singapura yang diperintah oleh anaknya.  Dia juga tidak membuat kenyataan terbuka mengkriktik parti pemerintah. Tapi Tun hentam keromo ikut suka sahaja. Masa zaman Pak Lah pun Tun hentam. Masa zaman Pak Najik pun, Tun hentam juga.

Seterusnya, eloklah Tun, bertaubat dari dosa-dosanya lampau, samada yang Tun sedar atau tidak sedar, samadanya yang langsung atau tidak langsung. Di hujung umur senja ini, eloklah Tun banyak bertasbih, bertahmid, dan bertakbir. Juga membuat banyak amal soleh dan kebajikan bagi menampung kekurangan agar dapat bawa bekalan secukupnya untuk bertemu dengan Allah SWT di padang mahsyar kelak. Tun harus ambil iktibar dari orang-orang yang terdahulu daripadanya yang pernah berada dalam nazak. Tun masih ada masa lagi untuk bertaubat dan membetulkan kesilapan lampau.

Namrud tidak sempat bertaubat. Firaun tidak sempat bertaubat. Abu Jahal dan Abu Lahab tidak sempat bertaubat. Kamal At-Tartuk tidak sempat bertaubat. Apakah Tun akan termasuk dalam golongan ini?

Wahai Tun yang dikasihi, eloklah berehat, cukuplah. Tumpukan hari-hari seterusnya untuk bertemu Allah dalam keadaan yang berserah diri pada Allah bukan sahaja jasadnya tetapi jiwa, mental, dan imannya. Semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada Tun.

Hubungan sulit di tempat kerja

Topik ini memang menakutkan kalau ia menimpa diri kita. Malah ia  mengerikan apabila ia terjadi pada suami kita atau isteri kita sendiri.

Kalau dulu, orang lelaki lebih ramai bekerja dan berada di luar rumah. Ada yang berkemampuan lebih akan menggunakan duit simpanan untuk belanja wanita lain. Samada belanja makan atau berekreasi mahupun makan angin lebih dari satu malam bersama.

Tetapi hari ini, wanita sudah ramai yang bekerja, dan mereka juga berkemampuan belanja lelaki lain. Ada yang sanggup cari jalan keluar secara senyap-senyap bertemu dengan lelaki lain dengan memberi pelbagai alasan kepada suami. Ada yang sanggup belanja si lelaki pujaannya yang baru. Ada yang sanggup bermalam bersama lelaki berkenaan di luar pengetahuan suami.

Kedua-dua kes berlaku dalam ‘hubungan sulit’, samada pre-marital atau extra-marital atau post-marital relationship. Pertemuan setiap hari di pejabat, kemesraan yang dilalui beberapa ketika semasa bertugas bersama, jelingan mata yang menusuk kalbu, bertukar senyuman yang mengasyikkan mata memandang, sentuhan kulit yang meremangkan bulu roma, dan memberi-menerima hadiah sesama diri, kesemuanya menyumbang kepada bibit-bibit permulaan hubungan sulit.

Mengapa ini berlaku? Banyak punca dan sebabnya.

  • Ada yang tidak puas di rumah, maka mencarilah kepuasan di luar.
  • Ada yang tidak mendapat cukup perhatian di rumah, maka apabila mendapat perhatian dari orang lain di luar rumah khususnya di tempat kerja, maka terjadilah hubungan sulit.
  • Ada yang tergoda dan digoda. Iman yang disangka setebal tembok konkit rupanya lebih nipis dari kulit bawang
  • Ada yang sengaja suka-suka dan mahu mencuba.
  • Ada yang sibok dengan karier masing-masing sehingga hubungan intim tidak lagi menjadi idaman.
  • Ada yang terhutang budi, maka sanggup dibayar dengan ‘body’.
  • Ada yang ramai tidak faham agama! atau memandang remeh soal agama!

Inilah ujian dan cabaran yang dilalui oleh kedua jantina ini di tempat kerja. Apabila hubungan sulit ini tidak terkawal dan diri sendiri tidak mampu mengawal diri, maka bencana menimpa keduanya. Rumahtangga menjadi porak peranda.

  • Ada yang terpaksa bercerai.
  • Ada yang bagaikan gantung tidak bertali
  • Ada yang cuba amal cina buta
  • Ada yang sanggup tebus talak
  • Ada yang lari dan menghilangkan diri
  • Ada yang rampas pasangan orang lain dengan cara hormat dan cara tidak hormat.

Yang menjadi mangsa ialah anak-anak yang tidak diminta dilahirkan. Kaum kerabat keluarga turut sama bermasam muka.

Inilah noda dan dosa. Kalau mereka  terus berada dalam gua yang gelap, seperti situasi ini, janganlah terus merayau dalam gelap, carilah lubang cahaya, keluarlah dari kegelapan itu. Allah Maha Kaya dan boleh memberi petunjuk cahaya, jalan keluar jika mereka mahu bertaubat dan berusaha untuk keluar dari kegelapan itu.

Penyelesaiannya ialah kembali kepada agama. Islam itu mulia dan suci tetapi penganutnya belum tentu.

Islam mengizinkan poligami, tetapi ramai lelaki salah guna dan tidak faham konsep serta kebaikan poligami. Lelaki yang mahu berpoligami mahu mengiku sunnah Nabi tetapi tidak ikut sunnah Nabi dalam berakhlak dan beribadah. Majoriti wanita Muslim juga jahil akan hal yang sama, akibatnya mereka menentang poligami. Media juga turut memberi gambaran salah dan negatif terhadap poligami. Bukan tidak ada poligami yang berjaya dan bahagia dalam negara, tetapi ianya tidak ditonjolkan. Sebaliknya yang ditonjolkan ialah kesan poligami yang tidak baik, yang diamalkan secara salah. Media seharusnya mendidik, tetapi media lebih suka mengaut untung wang dari membetulkan minda dan sikap manusia.

Akhirnya hubungan sulit berlaku secara meluas. Wanita menjadi lebih marah apabila suami berpoligami daripada suami mereka  membuat hubungan sulit dalam diam-diam. Poligami seolah-olah satu JENAYAH bagi wanita dan lelaki Muslim di Malaysia. Malah ada di kalangan yang faham agama juga memandang serong terhadap rakan yang berpoligami daripada mengucapkan tahniah kepada rakannya itu.

Inilah penyakit zaman moden, bunyinya “maut din”, mati agama

Guru Sekolah hari ini..tusyen

Suatu masa dulu, profesion guru tidak begitu menarik perhatian tetapi guru itu dihormati dan disegani. Kini profesion masih sama, tidak menarik perhatian dan guru bukan lagi jadi golongan dihormati dan disegani di Malaysia.

Suatu masa dulu, guru terdiri dari lelaki dan perempuan, tapi kini majoirti guru adalah perempuan. Orang lelaki tidak minat menjadi guru lagi.

Dulu guru tinggal berdekatan dengan sekolah dan hidup bersama masyarakat di mana pelajar sekolah tinggal bersama keluarga. Guru dapat memerhati dan memantau pelajarnya di kampung yang sama.  Hari ini, banyak guru tinggal jauh dari sekolah dan tidak tinggal di kawasan di mana pelajar tinggal; oleh itu pemantauan ke atas pelajar sukar berlaku.

Dulu, orang memilih jawatan guru kerana kemuliaan tugas, tetapi hari ini ada orang memilih menjadi guru kerana “sudah tidak ada kerja lain” dan kerana ‘tugas guru agak ringan dan boleh balik cepat.”

Dulu gaji guru rendah, tapi guru dihormati. Hari ini gaji guru adalah antara yang terendah walaupun tugasnya semakin banyak, dan guru pula kurang dihormati.

Dulu, jika guru marah ata jentik atau rotan pelajar, ibubapa akan sokong guru, tetapi hari ini, ada ibubapa yang buat laporan polis terhadap guru dan sekolah; ada yang datang dan pukul guru itu; ada yang hantar kaki pukup untuk pukul guru;  dan ada yang guna kuasa untuk buang atau tukar guru berkenaan ke sekolah atau daearah lain. Yang paling tak senonoh ada pula yang memberi amaran, bahawa gaji guru itu dibayar oleh ibubapa berkenaan; oleh itu hati-hati wahai guru!

Tetapi tidak dinafikan hari ini ada guru yang tidak komited dalam profesionnya. Bagi mereka, mengajar sekadar apa yang ada dalam buku rekod pengajaran dan buku teks. Soal pelajar mengantuk, kebajikan pelajar, sikap dan gelagat pelajar, dan masalah pelajar bukan urusan guru. Ada guru mengatakan, mereka tidak dibayar untuk urus kebajikan pelajar mahupun mendidik pelajar menjadi seorang yang bermoral tinggi.

Ada pula yang mencadangkan supaya pelajar ikuti kelas tusyen guru berkenaan di rumahnya atau di pusat tusyen tertentu. Malah ada guru besar yang buat perkara yang sama.  Sungguh tidak beretika langsung guru dan guru besar berkenaan. Berlaku “conflict of interest.”

Apa guna pelajar pergi sekolah kalau apa yang dipelajarinya tidak memadai sehingga mereka terpaksa pula pergi ke tusyen? Apakah guru tidak mengajar dengan betul sehingga pelajar masih perlu kepada tusyen?

Akhirnya guru tidak komited dan tidak jujur dalam mengajar dan dalam menyampaikan ilmu. Mereka memikirkan bagaimanakah  mereka boleh memperolehi pendapatan sampingan untuk simpanan dan perbelanjaan hidup mereka? Ya, suruh pelajar ikut tusyen yang guru berkenaan kendalikan.

Di zaman 60an-80an, pelajar dan guru tidak menyebut soal perlunya tusyen seperti sekarang ini, tetapi ramai juga pelajar yang berjaya dan masuk ke sekolah ternama pada masa lampau; malah ada yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara dan dalam negara. Mereka tidak pernah pergi tusyen di zaman mereka.

Inilah masalah sebahagian guru dan masalah tusyen…guru…guru…Semoga guru yang jujur akan diberkati Tuhan dan dimudahkan urusan hidup mereka dan dimurahkan rezki mereka…dan yang paling penting! ialah semoga hidup mereka sejahtera dunia dan akhirat.