SMS palsu – terpedaya kerana wang!

Berhati-hati dengan SMS palsu yang menjanjikan wang dan keuntungan kepada anda. Tidak ada benda percuma dan durian runtuh atau durian datang bergolek melainkan ada sesuatu yang akan memakan diri anda. Baca artikel ini dan sebarkan kepada rakan-rakan.

——-dipetik dari http://www.in4ict.com/komunikasi/sms-palsu-guna-nama-syarikat-telekomunikasi.html

Statistik terkini yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menunjukkan pelanggan telefon bimbit di negara ini berjumlah 30.3 juta pada akhir tahun lalu dengan kadar penembusan sebanyak 106.2 peratus.

Perkembangan itu membuktikan masyarakat bebas menggunakan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai satu kaedah berkomunikasi yang diakses menerusi peranti terbabit.

Sayangnya, ia turut mengundang jenayah siber yang cuba mengeksploitasi kemudahan terbabit untuk kepentingan kewangan dengan menghantar SMS palsu atau menipu menggunakan SMS yang dikirim kepada pengguna.

Lebih membimbangkan, masih ramai pula pengguna yang terpedaya berikutan kurangnya kesedaran mengenai masalah ini atau rambang mata dengan tawaran hadiah palsu mengujakan dihantar penyamun digital itu.

Mungkin anda pernah menerima SMS seperti disenaraikan di bawah. Antaranya ialah:

  • Dear valued customer. RM70 will be credited into your account. To activate type 7 and send to 10133440257. TQ
  • TAHNIAH! ANDA TERPILIH UTK MENERIMA RM50 KREDIT PANGGILAN PERCUMA DARI “CELCOM” SEMPENA (ULANG TAHUN’) SILA TAIP; 10 & HANTAR KE; 10199580629 (PERCUMA) TQ.
  • Penambahan baki akaun **** Mid Prepaid anda sebanyak RM5 akan diaktifkan akaun anda, dail 0193000910 atau taip 5 SEND ke 10199993064.TQ.
  • Anda mempunyai 9 pesanan suara. Untuk mendengar mesej bersuara ini sila taip 9 dan hantar ke 10132454709.

Senarai terbabit antara SMS yang tidak sah dan cuba mengaburi mata pengguna untuk membalasnya.

Malah, terdapat pengguna kehilangan kredit prabayar sebaik membalas SMS yang diterima mereka.

Salah satu teknik penipuan SMS dilakukan menerusi taktik ‘hoax’ yang mana penghantar SMS dengan sengaja menipu penerima agar percaya kepada sesuatu yang nyata padahal sebenarnya ia hanya khayalan semata-mata.

SMS hoax dilakukan menggunakan mesej sebenar, tetapi menipu dalam konteks atau perkataan yang dimuatkan dalam SMS terbabit.

Contohnya, pengguna akan menerima SMS yang meminta mereka menghantar maklumat kepada 10 orang lain bagi menerima ganjaran tertentu yang langsung tidak wujud.

Masalah penipuan SMS melalui taktik hoax tidak tertumpu di negara ini semata-mata, malah ia tersebar meluas di seluruh dunia terutama selepas peningkatan penggunaan telefon bimbit di kalangan masyarakat.

Gergasi telekomunikasi Australia, Telstra misalnya mengingatkan pengguna agar berhati-hati dengan mesej dalam SMS yang menjanjikan penghantaran SMS percuma kepada pelanggan mereka.

Ia berikutan gejala penghantaran e-mel palsu secara besar-besaran yang memberitahu penerima bahawa mereka akan menerima SMS percuma selama satu bulan sebagai ganjaran untuk menyampaikan mesej kepada lapan orang lain.

Malah tahun lalu, penipuan serupa berlaku di Vietnam apabila ribuan pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi menerima SMS yang memberi harapan palsu bagi menerima 90 dong (mata wang Vietnam).

SMS hoax itu mirip dengan sejumlah e-mel hoax termasuk Siemens Giveaway Hoax yang meminta orang ramai meneruskan penghantaran e-mel kepada lapan orang untuk mendapatkan telefon Siemens baru pada suatu ketika dulu.

Satu lagi taktik menggunakan yang sering dikaitkan dengan jenayah SMS dihasilkan melalui kejuruteraan sosial yang menyamai teknik ‘Phishing’ iaitu ‘Smishing’.

Untuk makluman, Smishing diringkaskan daripada perkataan ‘SMS phishing’ yang dihantar kepada pengguna.

Seperti phishing, smishing menggunakan SMS pada telefon bimbit untuk memancing pengguna mendedahkan maklumat peribadi mereka bertujuan memerangkap individu yang tidak arif mengenai teknologi.

Kaedah yang digunakan untuk benar-benar ‘menangkap’ maklumat pengguna atau menghubungkan SMS yang dibuka ke laman web tertentu secara automatik sebelum ‘mengorek’ data pengguna.

Menyedari penipuan SMS masih belum berhenti dan semakin berleluasa di negara ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memulakan langkah tegas yang bertujuan mengekang penyebaran SMS palsu.

Kajian terbaru yang dikeluarkan Forum Pengguna Malaysia (CFM) menunjukkan SMS tidak dilanggan menguasai 69 peratus daripada sejumlah 97 aduan yang diterima berhubung penyalahgunaan SMS pada 2009.

Manakala penipuan SMS mencatatkan angka 13 peratus selain SMS tidak diundang serta SMS promosi masing-masing sebanyak tujuh peratus.

Lebih membimbangkan, jumlah purata bulanan kes sedemikian mencatatkan peningkatan 100 peratus dari lapan kes sebulan tahun lalu kepada 16 kes sebulan tahun ini.

CFM mendedahkan, pemantauan SMS meliputi mesej tidak dilanggan yang menawarkan pindah turun video lucah, mempromosikan ubat kuat seks lelaki, makluman memenangi sesuatu serta promosi menarik pindah turun masa berbual dengan menawarkan kredit masa berbual serta SMS yang bersifat samar-samar.

Selain itu, CFM turut mengesan SMS yang mempromosikan perkhidmatan pindah turun dengan caj tersembunyi dalam kebanyakan SMS biasa yang tidak diundang.

Tahun lalu, CFM menerima sejumlah 1,331 aduan tahun lalu di seluruh negara.

Mulai Julai ini, penyedia perkhidmatan aplikasi dan kandungan tidak akan terlepas jika mereka didapati bersalah menyalahgunakan teknologi SMS.

Menurut Pengarah Jabatan Pematuhan SKMM, Sharizan Abdul Aziz, tindakan undang-undang akan diambil ke atas syarikat terbabit sebaik saja Akta (Pindaan) Komunikasi dan Multimedia dikuatkuasakan.

“Buat masa ini, kami mendapati terdapat syarikat kecil yang menyalahgunakan perkhidmatan SMS,” katanya.

Beliau memaklumkan, antara hukuman dikenakan termasuk penjara yang mampu menjadi pencegah kepada syarikat kecil selain kemungkinan berhadapan dengan penutupan perniagaan.

“Tindakan tegas dilakukan turut menjejaskan reputasi syarikat terutama syarikat penyenaraian awam yang mungkin kehilangan keyakinan di kalangan pemegang saham dan pelabur mereka,” katanya.

Sharizan turut menasihatkan masyarakat agar lebih bijak menjadi pengguna dengan meneliti maklumat SMS diterima dan tidak mempercayainya bulat-bulat.

Bagi syarikat telekomunikasi pula, mereka mengambil langkah berjaga-jaga dengan memaklumkan kepada pengguna mengenai penipuan yang kerap berlaku di talian masing-masing.

Celcom Axiata Berhad (Celcom) menasihatkan ingin pelanggan untuk berhati-hati serta mengabaikan SMS yang menjanjikan ganjaran dan hadiah wang tunai.

  • Terdapat SMS yang menggunakan nama syarikat terbabit untuk mengaut keuntungan dan Celcom menyarankan pengguna tidak membalas SMS diterima seperti:
  • TAHNIAH. Simcard Anda Memenangi hadiah Cek Tunai RM20,000 dari peraduan CELCOM. Sila hubungi Call Centre : 006285656242229. Terima kasih
  • Pengumuman diri PETRONAS Mlys, TAHNIAH! Sim Card Anda tlh memenangi undian bertuah Cek tunai RM10000 Sila hubungi: 006281519347178 Terimakasih
  • TAHNIAH! Simcard anda telah memenangi hadiah cek tunai RM20,000. Plus reload kredit RM250 dari peraduan CELCOM. sila dail Call Center 00628565251247. terima kasih.

Dalam kenyataannya, Celcom mengingatkan pelanggan mereka untuk tidak melayan sebarang SMS yang menjanjikan wang tunai sebagai hadiah selain mengabaikan nombor telefon antarabangsa bermula dengan 00xxxxxxxxxxx.

Hanya SMS dari Celcom 12302 atau Xpax saja yang digunakan secara rasmi manakala pengguna yang mendapat SMS meragukan perlu menghubungi perkhidmatan pelanggan di talian 1-300-111-000.
Maxis Berhad (Maxis) pula melancarkan kempen ‘Do Not Disturb’ yang mengutamakan privasi pelanggan bagi menangani SMS ‘Spam’ yang diterima.

Syarikat terbabit memasang aplikasi Anti-Spam pada platform mereka yang bertindak sebagai ‘firewall’ menghalang spam berdasarkan kata kunci pengenalan.

Setiap aduan daripada pelanggan akan diselidiki dan berdasarkan penemuan kata kunci dari SMS spam terbabit, ia akan disekat daripada mengakses telefon pelanggan Maxis pada masa depan.

Menurut kenyataan Maxis, SMS Spam yang tidak dikenali biasanya bermesejkan pemasaran atau menawarkan hadiah wang palsu.

SMS spam akan dihantar keluar kepada ribuan pelanggan pada waktu tertentu.

Dalam kebanyakan kes, SMS spam akan dihantar tanpa kelulusan daripada salah satu pelanggan atau pembekal seperti mesej di bawah:

  • “Tahniah! Cek simcard anda Memenangi Tunai RM20, 000 Dari H0TLINK. Sila hubungi Call Centre: 006281388386555 http://www.hotlïnk.com.my”
  • “Selamat! Kad SIM anda telah memenangi hadiah wang tunai RM20, 000 daripada Hotlink. Sila hubungi Call Centre: 006281388386555 http://www.hotlïnk.com.my

DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) pula menyenaraikan SMS yang dikategorikan palsu mengaitkan nama syarikat telekomunikasi itu untuk mendapatkan keuntungan. Antaranya:

  • “Tahniah simcard Anda telah menangi Cabutan bertuah daripada ‘DiGi’ wang tunai, RM17,000,00 sila_hub Office; 014.359-0874 terima kasih, Pengirim: DiGi”
  • “Tahniah SIM CARD ANDA MEMENANGI HADIAH CEK TUNAI RM9,000 CARI PERADUAN ‘DIGI’ SILA HUBUNGI KHIDMAT PELANGGAN : 006281904077791. TERIMA KASIH.
  • “Tahniah simcard anda memenangi hadiah Cek Tunai dari RM5000 dari AFM Akademi Fantasia Malaysia. Sila hubungi 006281334093111/ 00628133615011 .”
  • “congratulations!!! Anda memenangi CEK TUNAI RM11,000.00 dari DiGi. Info sila hubungi perkhidmatan DiGi 006281339662763. http://www.digi.com.my”
  • “You have just won RM9000! You just need to deposit RM1000 cash into this account and the RM9000 will be yours. Bank account xxxxxxxx.”
  • “Congratulations! SIM Card Anda Telah Berjaya Memenangi BONUS Cek Bertuah RM15,000 Dari PETRONAS, Sila Call Di Talian 006281319779888 Terima Kasih.”
  • “Forward from +60160000015 this is DiGi special gift for every DiGi user. Just send this message to another 10 DiGi user and you’ll get RM50 free automatic.”
  • “DiGi TELECOMMUNICATIONS SDN BHD, Tahniah!! Simcard Anda dapat bonus RM17,000, untuk keterengan lanjut sula dil telefon 00006285693774357. Terima kasih.” from +6281514324217
  • “My number Prepaid Anda dapat bonus RM 14.000. >From astro MLYS. Sila dail number office: 0062817705397 Terima kasih.”
  • “My Prepaid Anda berjaya Memenangi Cek, Rm14,000, From astro MALAYSIA. Sila dial number talian 0061817705397. Terimakasih”
  • “+60162999902 : DiGi is celebrating over 900,000 DiGi holder! Send this message to 9 DiGi holder, you’ll receive RM50 free into your cellphone!”
  • “Congratulation Anda dapat bonus RM17,000 from “KLCC COMMU” sila dail number office, 006285888288549. T’rimahkasih.” A number: +6281511014036
  • “TAHNIAH!! Sim Card, anda memenangi Peraduan, dari “AKADEMI-FANTASY”. Wang Tunai RM17,000 Information sila Call; 006285880300678 Terima kasih. Pengirim; DiGi”
  • “TAHNIAH.Simcard Anda Memenangi hadiah cek tunai RM20,000 plus Reload credit 250 dari peraduan DIGI. Sila hubungi Call Center : 006281342141555 Terima kasih.”
  • “TAHNIAH! Prepaid anda Berjaya memenangi cek RM17.000, – Dari ASTRO MALAYSIA Sila dial number talian office : 006285885788571 Terima Kasih. “
  • “Congratulations Sim-Card anda Telah Bertuah Memenangi Hadiah Utama wang tunai RM.30.000,00 dr “PETRONAS PRIMAS KLCC” Sila/call/tel 014 3593234 Terima Kasih.”
  • “Congratulations!!! Anda memenangi 1 buah kereta dari DiGi. Info sila hubungi perkhidmatan DiGi 006281399994933. http://www.digi.com.my.”
  • “*Happy New Year 2009* get a phone promo price by visit our 1st Melaka “Biz Phone Cafe”. http://www.number94u.com From:SOS Telecommunication (Bacang,Melaka)”

DiGi menasihatkan pengguna agar mengabaikan sebarang SMS yang menjanjikan hadiah wang tunai atau sebarang hadiah dari sumber tidak diketahui.

Ketua Perkhidmatan Pelanggannya, Christina Ng, mengatakan mesej terbabit tidak dihantar DiGi dan menyarankan pelanggan untuk melaporkan dan memadam mesej yang diterima.

“DiGi tidak mengiktiraf surat berantai dengan gaya mesej spam ini. Kami berharap pelanggan kami tidak mudah tertipu,” katanya.

Ng menambah, pelanggan DiGi boleh menghubungi perkhidmatan pelanggan di talian 016-2211800 atau http://www.digi.com.my untuk mengesahkan dan melaporkan mesej mencurigakan yang diterima.

Bank Negara Malaysia (BNM) pula meminta orang ramai berwaspada apabila menerima SMS yang mendakwa dari BNM atau mana-mana bank perdagangan.

“BNM tidak pernah meminta sebarang maklumat perbankan peribadi daripada orang ramai sama ada melalui SMS mahupun panggilan telefon.

“Berdasarkan aduan yang diterima BNM kebelakangan ini, terdapat peningkatan kejadian panggilan telefon atau SMS palsu kepada orang ramai yang tidak mengetahui kegiatan ini bagi mendapatkan maklumat perbankan peribadi mereka dengan tujuan mengambil wang akaun mangsa,” katanya.

Orang ramai yang menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan tawaran hadiah lumayan diminta melaporkan segera ke Jabatan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Siber Malaysia (MyCERT) di talian 03-89926969 atau SMS 019-2813801.

Untuk menghindari penipuan SMS, anda harus berhati-hati mendedahkan nombor telefon anda walau di mana anda berada.

Apabila anda mengisi borang pendaftaran, pastikan membaca syarat dan terma sebelum mendedahkan nombor telefon anda.

Sebahagian besar syarikat terkemuka dan perkhidmatan rasmi akan meminta izin untuk mendedahkan butiran anda kepada pihak ketiga untuk tujuan pemasaran.

Meskipun banyak pihak mengambil langkah berjaga-jaga dalam menangani masalah penipuan SMS ini, pengguna sendiri perlu mengambil langkah bijak dengan menyelidik SMS yang diterima selain memastikan keselamatan nombor telefon anda.

Sumber : Harian Metro

One thought on “SMS palsu – terpedaya kerana wang!

  1. albangi June 29, 2010 at 11:54 pm Reply

    Baca lagi penipuan dalam SMS

    Scam Alert: CIMB Low Rate Transaction Fee
    http://www.shamsuriyadi.com/2010/06/03/scam-alert-cimb-low-rate-transaction-fee/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: