Bagi setiap orang yang baru bekerja, mereka akan lalui dilema dalam mengurus perbelanjaan bulanan. Di Selangor, kerajaan negeri menetapkan RM1500.00 sebagai kadar minima gaji atau pendapatan bulanan. Jika seseorang itu mempunyai pendapatan kurang daripada RM1500.00, ia bermakna orang tersebut berada di bawah tahap kemiskinan. Manakala di Kuala Lumpur, kadar minima gaji atau pendapatan bulanan ialah RM2500.00. Jika mereka mendapat kurang daripada jumlah tersebut, maka ia termasuk dalam kategori orang miskin bandar.
Dengan kadar minyak yang naik setiap 6 bulan dalam negara ini menyebabkan harga barang naik, sewa kedai naik, harga perkhidmatan naik, sewa rumah naik, tarif elektrik naik, harga tol naik dan segala harga “Barang Naik” (BN). Bagi anak muda yang baru bekerja, khususnya yang baru keluar universiti atau kolej dengan kelulusan diploma atau ijazah pertama, kebanyakan mereka berpendapatan sekitar antara RM1000-RM2500.00.
Jika dikira dengan pendapatan bulanan berkenaan, maka pastinya mereka akan berada dalam dilema untuk mengurus perbelanjaan apabila mendapat gaji bulanan. Apakah cukup dengan pendapatan berkenaan? Apakah mereka perlu mencari pendapatan sampingan atau OT (overtime)? Apakah pendapatan sampingan halal? Apakah dengan mencari pendapatan sampingan untuk menyara hidup, mereka tidak akan meninggalkan solat? Dan 1001 macam lagi soalan yang perlu mereka tangani.
Jika kita ambil anggaran perbelanjaan di bawah, mungkin kita dapat melihat sejauh manakah anak muda yang baru bekerja boleh mendisiplinkan diri mereka untuk berhemat dan bercermat dalam mengurus perbelanjaan bulanan mereka.
Anggaran belanjawan orang baru bekerja (orang muda)
Pendapatan RM2500.00
Perbelanjaan
Diri sendiri RM150.00 (wajib)
Simpanan RM100.00 (pilihan bijak)
Perlindungan takaful dan
Pelaburan/Saham RM250.00* (pilihan bagus)
KWSP 11% RM275.00 (wajib)
Sumbangan kpd ibubapa RM200.00 (digalakkan; kecuali tiada ibubapa)
Sewa rumah RM250.00 (kecuali tinggal bersama keluarga)
Kenderaan RM375.00 (wajib jika buat pinjaman beli kenderaan)
Makan-minum, pakaian RM375.00 (wajib, kecuali rajin berpuasa)
Petrol RM 250.00 (wajib, tidak termasuk Tol dan duit baiki kenderaan)
Telefon RM050.00 (paling minima, jika dapat kawal maksimum belanja RM100)
Pinjaman pelajaran RM100.00 (jika ada)
Zakat pendapatan (Muslim) RM062.50 (bergantung jika ada lebihan belanja akhir tahun)
Lain-lain RM062.50 (kecemasan)
Jika dicongak jumlah perbelanjaan semua yang ada di atas, maka gaji RM2500.00 akan habis digunakan. Ini tidak termasuk belanja Internet khususnya anak muda yang banyak menggunakan Internet dalam urusan harian mereka.
Di sinilah cabaran yang perlu disahut oleh orang muda dan orang yang bekerja lama serta memperolehi pendapatan lebih daripada RM25000.00 Kita harus TAHU membezakan apa yang PERLU dibelanja dan apa yang bersifat KEHENDAK. Kalau kita tahu beza antara keduanya, kita akan dapat jimat dan cermat berbelanja.
Kita juga harus tahu apa yang perlu SEGERA dan apa yang boleh diTANGGUHKAN. Jika kita boleh bersabar dan bijak mengurus belanja apa yang perlu SEGERA (urgent), maka kita akan ada baki simpanan wang untuk kecemasan.
Dalam perbelanjaan di atas, ia tidak termasuk derma atau sedeqah kepada orang atau pihak yang memerlukan. Di dalam Islam, mereka diajar bahawa setiap derma atau sedeqah kerana Allah akan diberkati. Malah di dalam Al-Qur’an, kita dijanjikan oleh Allah bahawa orang yang bersedeqah kerana Allah akan digandakan rezki mereka dan dilipatgandakan sumber pendapatan mereka. Juga kehidupan mereka diberkati dengan kemudahan yang tidak nampak iaitu mereka tidak putus rezki dan tidak banyak masalah masalah yang menghabiskan duit mereka. Apatakh lagi apabila mereka tidak putus untuk solat dhuha selain daripada solat yang wajib. Itu semua janji Allah yang wajib kita imani dan hayati kecuali kita tidak yakin atau kurang yakin atau kurang asas AQIDAH.
Apakah orang muda sudah merancang belanja untuk berumahtangga? Apakah sudah ada rancangan pendapatan setelah bekeluarga nanti? Belanja untuk isteri dan anak-anak? Belanja sekolah? Hutang rumah jika beli rumah kelak? Ingatlah bahawa orang yang lebih dahulu daripada kita pernah lalui zaman orang muda berbelanja dan lebih dahulu berumah tangga serta beranak pinak, dan belajarlah dari mereka bagaimana mengurus belanja yang bijak disamping disiplin diri dan kualiti yang ada pada diri sendiri.
KUALA LUMPUR – Lebih 70 peratus rakyat Malaysia menggunakan separuh pendapatan bulanan hanya untuk membayar pinjaman kereta, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.
“Paling sedikit pun, RM500 sebulan. Itupun kereta (Perodua Kancil). Sekarang, semua orang terpaksa memiliki kereta sendiri disebabkan sistem pengangkutan awam yang teruk,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Azan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) melaporkan, 61 peratus isi rumah di Malaysia berpendapatan di bawah RM3,000.
“Tapi, kurang daripada sepuluh peratus rakyat Malaysia menggunakan pendapatan bulanan mereka untuk membeli aset seperti rumah dan tanah,” jelas beliau.
Justeru kata Azan, rakyat Malaysia dilihat berbelanja lebih untuk kenderaan, berbanding melabur aset kekal seperti rumah dan tanah.
“Sembilan tahun bayar pinjaman kereta ialah amalan kewangan yang tidak sihat,” katanya.
Beliau menambah, kenderaan mengalami susut nilai secara purata 20 peratus setahun, manakala nilai kenderaan akan menyusut kepada ‘harga buku’ pada tahun keenam dari tarikh kenderaan dibeli.
“Kalau kereta berharga RM100,000, maka setiap tahun nilai susutnya adalah 20 peratus. Pada tahun keenam,’harga buku’ sekitar RM25,000 sahaja,” katanya.
“Pembiayaan kewangan Malaysia paling teruk. Kerajaan dilihat menyebelahi syarikat kewangan. Bank memang suka tempoh pinjaman dilanjutkan. Lagi lama pinjaman dibuat, lagi besar untung yang mereka dapat,” kata Azan.
Sebelum ini, Pakatan Rakyat bercadang untuk menurunkan harga kereta dengan menghapuskan duti eksais dan cukai import jika berjaya mengambil alih Kerajaan Pusat.
Langkah itu ekoran harga kenderaan di negara ini terlalu tinggi disebabkan cukai-cukai tersebut. – Keadilan