IPTA Malaysia hilang arah

Dunia pendidikan di peringkat IPT di Malaysia sudah terperangkap dengan permainan “politik perniagaan” yang didominasi oleh Barat.

Sebagai sebuah negara yang pernah kena jajah beberapa kali (oleh Belanda, Portugis, Inggeris, Jepun, dan Inggeris semula), psikologi orang Melayu khususnya sentiasa merasakan apa yang datang dari Barat adalah BAIK dan BETUL dari apa yang ada di negara sendiri walaupun negara sudah merdeka dari penjajah hampir 60 tahun.

Para ilmuan Malaysia juga masih belum dapat lari dari sindrom “colonized mind and attitude”.  Menteri Pengajian Tinggi yang cuba membawa gelombang KPI bertanggungjawab membawa balik rakyat Malaysia khususnya para pensyarah di universiti MENYEMBAH DUNIA BARAT dengan mengikut apa sahaja yang dikemukakan oleh BARAT.

Beberapa pihak di Barat memulakan dengan permainan SENARAI 100 Universiti terbaik dunia, SENARAI 100 universiti Asia terbaik dengan mengemukakan beberapa kriteria.

Kemudian kriteria ini berubah-ubah dari masa ke semasa dan kemudian kriteria baru diwujudkan dengan permainan SCOPUS dan ISI di mana setiap penerbitan jurnal di dalam SCOPUS dan ISI dibayar dengan harga tinggi. Yang menerbit juga diberikan ganjaran wang antara RM1000 hingga RM10,000 bagi setiap artikel. Maka penerbit jurnal kaya mengutip yuran dari penulis untuk menerbit artikel; penulis juga kaya mengaut wang dari majikan universiti kerana bejaya menerbit artikel dalam senarai jurnal SCOPUS dan ISI.

Apa yang lebih parah ialah apabila artikel ditulis oleh sebilangan pensyarah sehingga ada artikel yang ditulis oleh 2 pensyarah, 5 pensyarah, 10 pensyarah, hatta ada juga satu artikel yang ditulis oleh 30 orang! Inilah Malaysia BOLEH! Profesor Ulung Negara, iaitu Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, menggelar fenomena kegilaan menulis beramai-ramai dalam satu artikel ini sebagai “SARJANA GOTONG ROYONG.” Inilah agaknya yang mahu diwujudkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia yang membawa imej korporat dalam mengurus universiti.

Bukan “sarjana gotong royong sahaja” yang menjadi keghairahan para pensyarah dewasa ini, malah ramai pensyarah menenggek dalam artikel pensyarah lain untuk diterbitkan dalam senarai penerbitan SCOPUS dan ISI. Fenomena ini boleh digelar sebagai  “PENERBITAN TIMBANG KATI”  di mana pensyarah menerbit apa sahaja dalam jurnal asalkan diterbitkan dalam  jurnal SCOPUS dan ISI dan  walaupun artikel dan jurnal itu tidak melambangkan bidang disiplin atau kepakaran pensyarah bekenaan.

Yang lebih jenaka pula ialah apabila pensyarah yang menjadi penyunting dan pewasit jurnal SCOPUS dan ISI menawarkan diri kononnya mahu membantu pensyarah muda menulis dan menerbit artikel dalam jurnal SCOPUS dan ISI dengan syarat nama pensyarah itu dimasukkan dalam artikel berkenaan tanpa mengira bidang.

Maka pensyarah senior berkenaan memiliki puluhan malah ratusan  artikel dalam SCOPUS dan ISI walaupun nama pensyarah berkenaan berada dalam artikel yang bukan bidang disiplinnya . Dengan terbitnya artikel mereka dalam jurnal SCOPUS dan ISI, maka mereka menuntut ganjaran wang dari universiti atas alasan berjaya menaikkan KPI universiti dan menaikkan ranking universiti di mata dunia. Ada artikel bernilai RM1000, RM2000, dan paling tinggi RM10,000 untuk dituntut oleh pensyarah berkenaan.

Benarlah kata pepatah Melayu, menang sorak kampung tergadai. Jurnal tempatan tidak mendapat perhatian lagi dari pensyarah tempatan kerana permaian “politik perniagaan” Barat dan kerana kekalutan Menteri Pengajian Tinggi yang mengikut tarian Barat. Jurnal bahasa Melayu MALAP. Jurnal tempatan MATI.

Lebih teruk lagi apabila buku-buku dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris tidak lagi diberi perhatian, dan akibatnya, bilangan buku tulisan akademik amat berkurangan kerana BUKU tidak dinilai dalam KENAIKAN PANGKAT di universiti. Menteri Pengajian Tinggi dan Naib-Naib Canselor tidak mahu melihat buku sebagai sumber ilmu yang diedar dan dibaca oleh anggota masyarakat umum berbanding dengan jurnal yang hanya berada di rak buku dan dalam Internet untuk kegunaan ilmiah semata-mata.

Pentadbir universiti bagaikan lembu dicucuk hidung oleh hegomoni barat dalam permainan “politik perniagaan” oleh Barat dalam hal ini.

Di mana perginya jatidiri ilmuan Malaysia jika buku yang menjadi sumber  ilmu tidak diiktiraf sebagai sumbangan ilmu dalam negara ini ketika menilai ilmuan dalam proses kenaikan pangkat?

Di mana pergi jatidiri jurnal dari Malaysia apabila pensyarah tidak mahu menulis dalam jurnal tempatan kerana segelintir  kecil sahaja jurnal tempatan  yang diterima sebagai jurnal SCOPUS dan ISI oleh Barat? Betul, IPTA sudah hilang arah haluan!

Di manakah keikhlasan pensyarah menulis artikel  kerana ilmu dan bukan kerana mengejar status dan bukan kerana mengejar ganjaran yang lumayan sehingga menggadaikan jurnal tempatan serta buku tempatan dalam bahasa Melayu? Benarlah IPTA sudah hilang arah haluan!

Apakah bahasa Melayu ini hina sangat di sisi dunia sehingga tidak boleh menjadi bahasa ilmu? Memang IPTA sudah hilang arah haluan!

Inilah bukti kesan MENTAL DAN SIKAP ORANG YANG PERNAH DIJAJAH. Mereka melihat apa yang dibuat dan dicadangkan oleh Barat itu semua bagus dan betul  sehingga mereka sanggup menyempitkan pembinaan khazanah ilmu dalam acuan kita sendiri.

Siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini kalau tidak Menteri Pengajian Tinggi dan Naib-Naib Canselor IPTA yang kini bukan berkhidmat untuk kesarjanaan tetapi untuk menjaga periuk nasi masing-masing! Inilah yang dikatakan IPTA sudah hilang arah haluan! Akhirnya PENJAJAH tetap ULUNG, ilmuan MALAYSIA kena GULUNG!

Baca pula petikan tulisan seorang Profesor Jusa B, bekas Dekan dari sebuah IPTA

————————–mula ————-

SAYA mulakan surat ini dengan rasa rendah diri yang amat sangat. Saya merupakan seorang profesor Jusa B yang kini masih berkhidmat dengan salah sebuah universiti perdana tanah air. Dalam usia yang kian menuju ambang persaraan dan dengan sedikit pengalaman yang Tuhan berikan ketika menetap sepuluh tahun di luar negara, izinkan saya meluahkan perasaan yang sudah tidak dapat ditahan-tahankan lagi.

Dalam tempoh hampir 30 tahun bergelar pensyarah, saya turut pernah menjawat jawatan sebagai Dekan juga pengarah dalam beberapa jabatan lain di universiti. Oleh itu, dengan pengalaman itu saya rasa saya berhak untuk menyuarakan isi hati setelah suara saya dan rakan-rakan profesor tidak pernah didengari oleh pihak pendaftar universiti mahupun Kementerian Pengajian Tinggi.

Bulan April adalah bulan yang paling ditakuti oleh para pensyarah universiti IPTA kerana penilaian prestasi (KPI) mereka akan dinilai. Sejak kebelakangan ini, apabila KPT terlalu mementingkan “rangking dunia,” maka ramai (sebahagian besar pensyarah) ini akan mendapat markah di bawah prestasi 80 markah kerana gagal menerbitkan jurnal bertaraf antarabangsa (ISI).

Masalah ini kian parah apabila jurnal ISI ini turut menjadi syarat wajib untuk permohonan kenaikan pangkat. Persoalannya di sini ialah, siapakah yang menentukan pengiktirafan ISI ini? Seperti yang dimaklumi bahawa pengiktirafan ISI ini adalah di bawah bidang kuasa penerbitan yang bernaung di Barat. Hal ini bermakna juga bahawa KPI pensyarah-pensyarah ini berada di bawah ketentuan kuasa Barat. Bukankah aneh, seorang kakitangan kerajaan Malaysia, prestasinya dinilai atau ditentukan oleh negara Barat? Dan, hal ini tidak berlaku kepada kakitangan awam Malaysia yang lain.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seorang kakitangan awam Malaysia, KPInya ditentukan oleh kuasa Barat? Lebih malang lagi nasib ini menimpa kepada pensyarah yang berada dalam bidang sains sosial yang kajian dan penyelidikan mereka benar-benar terbatas kepada mempertahankan maruah dan nasib bangsa, agama, bahasa, sejarah, sastera dan kebudayaan Melayu yang kita sedia maklum tidak pernah dihargai atau mendapat pengiktirafan kuasa penjajah.

Jika hal ini berterusan, maka tidak hairanlah pada hari ini jawatan pensyarah bukan menjadi pilihan golongan muda. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh pihak KPT ialah member pengiktirafan kepada jurnal-jurnal yang diterbitkan oleh university mahupun institusi tempatan yang lain. Perkara yang paling penting ialah budaya penulisan jurnal dapat berkembang hebat dan budaya penulisan penyelidikan dapat terus subur dalam negara. Menerbitkan jurnal bukanlah semudah yang disangkakan. Sekirannya hal ini masih dipandang sebelah mata, maka adalah malu seorang pensyarah yang kelulusan sarjana atau doktor falsafah (PhD) dan bekerja di universiti tempatan, markah KPInya berada pada bawah paras “malas” atau “sakit” sedangkan mereka mempunyai dedikasi yang tinggi dalam pengajaran dan melakukan tugas-tugas rasmi universiti seperti membentang kertas kerja, menghadiri seminar, menjadi perunding kepada beberapa organisasi kerajaan dan sebagainya.

Perkara kedua ialah tentang gaji pensyarah. Aneh dan pelik kerana sepanjang 30 tahun saya bertugas sebagai pensyarah, gaji pensyarah tidak pernah melalui penstrukturan semula berbanding gaji guru yang saya lihat begitu drastik perubahannya. Bayangkan seorang guru pakar (guru cemerlang) yang hanya berkelulusan ijazah pertama layak menerima gaji bergred DG52 (setaraf dengan gred gaji pensyarah berkelulusan PhD) atau DG48 sedangkan seorang pensyarah yang berkelulusan sarjana dan bergred DS45, mengajar pula calon-calon sarjana tetapi menerima gaji yang lebih rendah daripada itu.

Lebih malang lagi ialah, sebahagian besar pensyarah bergred DS45 ini merupakan bekas-bekas guru yang berpengalaman mengajar lebih daripada 15 tahun. Jika dibandingakan dengan rakanrakan guru mereka yang berada di sekolah atau di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau Kolej Matrikulasi, maka golongan pensyarah ini seperti sengaja dizalimi. Lebih memalukan lagi jika dibandingkan dengan guru-guru sekolah yang mengajar Tingkatan 6 (prauniversiti), dengan pengalaman kurang 10 tahun tetapi turut menerima gaji gred DG48/DG44.

Inilah satu kezaliman dalam kes pembayaran upah dan guna tenaga kerja kepada pensyarah. Oleh itu, saya mencadangkan supaya gred gaji pensyarah tanpa PhD perlu dinaiktarafkan kepada DS52 (atau setara dengan tingkat gaji DG48) dan pensyarah berkelulusan PhD dinaiktaraf ke Gred DS54 dan begitulah seterusnya. Situasi ini akan dapat menunjukkan status dan kedudukan pensyarah di mata dunia setanding usaha memartabatkan golongan profesional.

Secara peribadi, saya melihat skim perkhidmatan pensyarah IPTA pada zaman ini adalah amat menyedihkan berbanding guru sekolah. Golongan ini terpaksa berhadapan dengan satu persaingan dunia yang jumud dan amat menekan. Pensyarah hari ini lebih teruk daripada seorang guru yang terpaksa berhadapan dengan cabaran atau kemungkinan pertembungan budaya ilmu. Tentunya pertembungan ini menuntut iltizam dan komitmen yang tinggi sebagai satu usaha persaingan yang sihat.

Malangnya, semua usaha yang dilakukan oleh pensyarah bagi melonjakkan impian Malaysia untuk menjadi pusat pengajian ilmu terbaik Asia tidak pernah dihargai. Inilah kelemahan Menteri Pengajian Tinggi, iaitu YAB Dato’ Khalid Nordin yang tidak pernah memikirkan nasib dan kebajikan pensyarah IPTA berbanding YAB Tan Sri Mahyudin Yassin yang begitu bersungguhsungguh membela nasib guru.

Sepanjang saya berkhidmat sebagai seorang pensyarah pelawat di Amerika, hal-hal sebegini tidak berlaku. Penilaian prestasi (KPI) seseorang pensyarah dinilai kepada sebanyak mana mereka menyumbangkan ilmu dan kepakaran mereka kepada masyarakat. Sumbangan mereka menulis untuk penerbitan berkala, akhbar, majalah mahupun buku cerita kanak-kanak amat dihargai kerana para pensyarah itu dikatakan milik masyarakat.

Penerbitan jurnal berwazit dan bertaraf ISI hanya satu hambatan penerbitan untuk tujuan mendapatkan bonus tahunan. Hal ini bermakna, pensyarah yang berada di Barat itu amat rapat hidupnya dengan masyarakat dan mereka amat dihormati jiran tetangga atau masyarakat setempat. Situasi ini tidak berlaku di negara kita. Oleh sebab ingin mengejar penerbitan ISI, mereka seperti menjadi makhluk asing di taman perumahan atau menjadi kera sumbang yang mementingkan diri sendiri. Demi kerana mengejar “rangking” dunia universiti, adakah ini yang diinginkan oleh KPT? Kita perlu sedar bahawa untuk menandingi atau menyaingi Univesiti Havard, Oxford, Yale, Cambrige atau mana-mana universiti terbaik dunia bukan satu usaha mudah. Kita sepatutnya berfikir seperti mana cara orang Jepun berfikir, iaitu jangan tergila-gila merebut status universiti terbaik dunia tetapi berfikir bagaimana untuk menjadi fakulti yang ada di dalam sesebuah universiti itu boleh menjadi fakulti terbaik dunia dengan menggunakan sepenuh tenaga dan kepakaran yang ada.

Universiti of Tokyo misalnya mempunyai Fakulti Kejuruteraan Automobil ketiga terbaik di dunia tetapi universiti ini berada dalam kelompok ke-100 dalam “rangking” dunia. Hal ini sepatutnya boleh berlaku kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya bagi menjadi Pusat Tamadun Melayu Dunia seperti Universiti of Leiden, Belanda atau juga Akademi Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia bagi mengambil alih fungsi Universiti Al-Azhar, Mesir. KPT tidak berfikiran sedemikian sebaliknya yang difikirkan ialah “kegilaan” mengejar “rangking” dunia tanpa pernah mengukur pakaian pada badan sendiri.

Kepada KPT, khususnya YAB Dato’ Khalid Nordin, fikirkanlah kebajikan dan nasib para pensyarah yang akan membawa impian dan nama university tempatan ke mata dunia sebelum mereka berhijrah ke university swasta (IPTS) yang menjanjikan pulangan yang lebih baik. Tugas pensyarah sebenarnya lebih berat berbanding guru sekolah. Mereka perlu membuat penyelidikan, menyelia tesis sarjana mahupun PhD, mengajar dan mereka juga menjadi milik masyarakat.

Adilkah mereka dibayar dengan gaji yang setara upahnya dengan guru jika beban tugas yang terpaksa dipikul itu lebih berat? Beberapa bulan lalu, dalam ruangan “Surat Pembaca” Berita Harian, jawapan oleh Unit Komunikasi Koprat terhadap keluhan seorang Profesor Pencen amat melucukan. Jawapan itu menunjukkan bahawa pegawai di KPT hanya memikirkan perut sendiri. Cuba kita bayangkan, wajarkah seorang pensyarah Gred DS45 (tanpa PhD) boleh menjawat jawatan professor atau pengarah di universiti?

Apakah ertinya pengalaman 15 tahun bergelar guru, 5 tahun bergelar pensyarah dengan kepakaran yang dimiliki jika tidak dihargai oleh universiti? Jawapan-jawapan mereka yang merujuk juga kepada university mempunyai kuasa autonomi hanya satu jawapan bodoh dan menolak prinsip kemanusiaan. Ingin saya bertanya juga kepada KPT, sejauh mana kuasa autonomi KPM yang diberikan kepada IPTA?

Akhirnya, sebagai seorang profesor Gred Jusa B, saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan terhadap gaji dan jawatan kerana saya sudah menikmati kesemuanya itu. Apa yang saya harapkan ialah belalah nasib golongan pensyarah ini kerana di tangan merekalah akan lahirnya generasi hebat negara dan generasi bermodal insan yang bakal menyambung gagasan kepimpinan negara.

Seperti yang selalu saya suarakan di dalam mesyuarat dengan anggota senat-senat universiti bahawa sudah sampai masanya pihak KPT berfikir seperti mana cara orang Jepun berfikir, iaitu memastikan bangsa mereka berada di baris hadapan tanpa membunuh jati diri bangsa. Budaya mengarifi falsafah Melayu “kera di hutan disusukan; anak mati dalam pelukan” perlu difahami sebaik-baiknya.

Wajarkah rakyat Malaysia membayar gaji yang lumayan kepada pensyarah warga Negara asing yang berkelulusan sarjana dan tidak menyumbangkan apaapa dalam dunia penerbitan? Fikirkan kebajikan dan nasib pensyarah-pensyarah warga tempatan ini, khususnya pensyarah-pensyarah muda yang bakal memikul tanggungjawab dan amanah untuk 10 atau 20 tahun lagi. Jika Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melakukan banyak penambahbaikan dalam mengangkat martabat guru, sepatutnya hal yang sama juga berlaku kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Sebagai penutup surat ini, sekali lagi saya merayu agar KPT dapat memikirkan kewajaran pandangan dan cadangan saya ini supaya kita sama-sama dapat mengangkat martabat dan memikirkan kebajikan golongan pensyarah yang tidak pernah disentuh oleh mana-mana pihak sejak 10 tahun kebelakangan ini.

PROFESOR JUSA B,

Kuala Lumpur

~dipetik dari surat pembaca sebuah akhbar

[http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=16586#537708]

—————tamat —————-

20 thoughts on “IPTA Malaysia hilang arah

  1. Prof. Madya, Pensyarah IPTA June 25, 2011 at 10:53 am Reply

    Sejak Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor terdiri dari orang aliran sains dan teknologi, saya dan rakan-rakan pensyarah dari aliran sains sosial merasa tertekan kerana pentadbir sains MEMAKSA kami mengikut cara mereka. Mereka terbit makalah dalam jurnal yang tertentu sahaja, dan makalah mereka berhalaman minima 2 muka, tetapi mereka menulis beramai-ramai sehingga 6 orang satu artikel. Dengan halaman 2 muka itu pensyarah sains diberi markah dalam proses penilaian naik pangkat. Walhal kami dari sains sosial menulis minima 8 muka dan kandungan makalah kami bukan berbentuk nombor dan simbol sahaja tetapi ide dan kupasan yang perlu.

    Kami dari sains sosial tidak pernah menerbit makalah berhalaman 2 muka. Dan kami juga tidak gemar menjadi SARJANA GOTONG ROYONG dalam menulis makalah penting. Memang kami menulis dan menerbit tetapi penerbitan kami dari sains sosial lebih utama dalam BUKU dan BAB dalam BUKU sebagai salah satu wahana untuk dokumentasi ilmu. Kami juga menerbit makalah dalam jurnal tetapi jurnal kami dalam bahasa Melayu yang tidak diiktiraf oleh Barat.

    Buku kami dibaca oleh rakyat biasa dan impak sosialnya terkena pada masyarakat luas, manakala makalah orang sains dalam jurnal mempunyai impak dalam bidang mereka tetapi tidak dibaca oleh anggota masyarakat secara meluas. Sebaliknya makalah orang sains tersimpan dalam jurnal akademik di perpustakaan dan dalam Internet.

    Itulah yang pentadbir universiti hari ini mahukan agar pensyarah sains sosial menerbit dalam jurnal barat dan buku hasil tulisan pensyarah sains sosial tidak dikira dalam penilaian kenaikan pangkat. Itulah malapetaka bila orang sains yang tidak faham budaya sains sosial dan tidak menghormati bidang sains sosial tetapi berlagak pandai dalam semua perkara.

    Jika kita teliti di semua univerisiti di Malaysia, sila kira berapa orang pensyarah sains dan teknologi yang menulis buku atau bab dalam buku? Jika kita jujur, kita akan dapati HAMPIR TIDAK ADA pensyarah sains dan teknologi yang menulis BUKU atau BAB DALAM BUKU kerana itu bukan budaya dan cara orang sains.

    Saya setuju dengan artikel tuan, bahawa pentadbir universiti turut sama dengan Menteri tidak habis-habis menyembah BARAT. Kera di hutan disusukan, itik di air mati kelamasan. Begitulah ungkapan yang boleh saya sebutkan di sini betapa pensyarah negara ini dikerah mengkayakan jurnal luar negara dan MEMATIKAN jurnal dalam negara dan melemahkan survival bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

    Pensyarah sains seperti ketam mahu mengajar anaknya berjalan dengan lurus sedangkan ibu ketam tidak pernah berjalan lurus. Mereka mahu mengajar pensyarah sains sosial supaya menerbit dalam jurnal mereka tetapi mereka sendiri tidak pernah menulis dalam buku atau menghasilkan satu masterpiece buku. Sudah tidak ada hormat menghormati dalam kalangan ilmuan kerana kegilaan merebut pangkat melalui penulisan dalam jurnal yang terhad di peringkat global akibat mengejar ranking universiti dunia.

    Inilah padahnya bila Menteri mengejar nama dan pangkat serta glamor, maka pentadbir universiti bagai lembu dicucuk hidung tanpa mengggunakan kehebatan akal untuk berfikir dan berkreatif sebaliknya tunduk dan patuh kepada Menteri yang bukan seorang ilmuan.

    Prof. Madya, Pensyarah IPTA, 21 tahun berkhidmat sebagai pensyarah

  2. Bekas pensyarah IPTA June 26, 2011 at 8:04 am Reply

    Saya pernah mengajar IPTA selama 15 tahun, tapi saya keluar meninggalkan IPTA dan sudah bersama dengan IPTS selama 7 tahun. Bukan kerana gaji lebih, bukan kerana tidak mahu menulis, bukan kerana tidak mahu menerbit, dan bukan kerana tidak mahu membuat penyelidikan, tetapi kerana PENTADBIRAN UNIVERSITI AWAM YANG KETERLALUAN DALAM MENGEJAR RANKING UNIVERSITI DUNIA sehingga mengabaikan kebajikan pelajar, kebajikan pensyarah, kepentingan jurnal tempatan, kepentingan ilmu, dan penilaian prestasi yang adil. ADIL itu ialah meletakkan perkara pada tempatnya. Adakah adil menilai pensyarah sains sosial sama dengan pensyarah sains dan teknologi dalam semua aspek?

    Di IPTS, saya terus menulis, menerbit, dan menyelidik tanpa tekanan. Saya tidak stress seperti rakan-rakan akademik di IPTA. Saya rasa lebih seronok bekerja di IPTS tanpa stress dari kerja di IPTA. Apalah maknanya berkhidmat di IPTA yang bertaraf universiti penyelidikan tetapi kerja bagai nak gila sehingga terpaksa bersaing secara tidak sihat sesama kawan-kawan termasuk menenggek dalam kelompok sarjana gotong royong atau penerbitan timbang kati.

  3. Bekas pensyarah IPTA June 26, 2011 at 1:00 pm Reply

    Saya merasa tertarik dengan artikel ini dan merasa terpanggil untuk menulis sedikit. Saya pernah berkhidmat di IPTA dan kini sedang menikmati pencen dan mengajar di sebuah universiti swasta. Saya memilih bersara awal kerana ketidakpuasan hati terhadap pengurusan dan pentadbiran di universiti. Saya tidak menyesal kerana apa yang lihat waktu itu semakin parah rupanya pada hari ini. Maka saya tidak menyesal bersara awal dari IPTA.

    Sukacita saya nyatakan kebanyakan Profesor yang dilantik sebelum 2005 tidak ada artikel dalam SCOPUS atau ISI. Dan kalau kita teliti bilangan artikel mereka dalam SCOPUS hari ini, kita boleh bilang dengan jari bilangan makalah berkenaan. Tetapi mereka inilah antara yang bersetuju meletakkan syarat baru untuk jadi profesor atau profesor madya atau pensyarah kanan iaitu pensyarah MESTI menerbit minima 10 aritkel dalam jurnal SCOPUS dan ISI dan ada universiti meletakkan syarat 20 artikel dalam SCOPUS dan ISI jika mahu dinilai dalam kenaikan pangkat sebagai profesor. BUKU YANG DITERBITKAN OLEH PENSYARAH TIDAK ADA NILAI lagi dalam negara Malaysia.

    Ada juga pensyarah yang dianugerah jawatan sebagai Profesor dan Profesor Madya oleh pihak universiti kerana kabel politik dan kabel kesian dan bukan kerana merit atau kelayakan pensyarah berkenaan. Meterka tidak ada buku. Mereka tidak cukup bilangan jurnal dalam SCOPUS mahupun jurnal tidak berindeks. Mereka juga tidak ada pelajar Ph.D. tetapi dianugerah Profesor dan Profesor Madya kerana ‘arahan’ dari pimpinan politik.

    Ada profesor dan profesor madya yang tidak ada pelajar Ph.D. tetapi dilantik menjadi profesor, dan kemudian dinaikkan pangkat dari Profesor kelas C kepada Profesor kelas B dan A hanyalah kerana rapat dan “berjasa” pada Naib Canselor dan bukan kerana merit atau kelayakan.

    Ada pensyarah yang mendapat pangkat profesor kerana membawa wang penyelidikan dari luar RM1 juta. Malah ada di sebuah universiti tempatan, seorang profesor madya dinaikkan pangkat menjadi profesor hanya kerana beliau membawa sepucuk surat bahawa satu kerajaan negeri melantik beliau sebagai salah seorang penyelidik dalam satu projek penyelidikan bernilai RM10juta.

    Dengan sepucuk surat itu, universiti menaikkan pangkatnya kepada profesor. Beberapa minggu kemudian selepas pensyarah berkenaan menjadi profesor, beliau mendapat surat bahawa wang RM10 juta itu adalah nilai keseluruhan untuk projek penyelidikan dan pensyarah berkenaan hanya akan diberikan geran kecil kurang 5% daripada jumlah RM10 juta itu. Apa nak buat, jawatan dah diberi oleh universiti. Begitulah kekalutan universiti kerana terdesak mencari duit dari luar untuk penyelidikan dan bagi mengejar KPI dan mana-mana pensyarah yang boleh dapat geran luar akan diberikan markah tinggi dan jika seorang profesor madya boleh bawa wang lebih dari RM2 juta, maka jalan naik pangkat lebih mudah serta mendapat pengecualian lain dalam penerbitan.

    Saya pencen sebagai Prof Madya. Saya bukan sezaman dengan pensyarah baru yang mesti menerbit dalam SCOPUS dan ISI. Sebelum ini, universiti hanya menerima makalah dalam jurnal SCOPUS sahaja dan apabila universiti tempatan mendapati banyak universiti terkemuka dalam dunia tidak mengambilkiran SCOPUS tetapi ISI, maka IPTA ubah kriteria pula dan memasukkan jurnal bertaraf ISI dalam penilaian kenaikan pangkat.

    Kemudian apabila IPTA dapati ada pula beberapa jurnal terkemuka dalam dunia tidak mahu berada dalam SCOPUS atau ISI, maka IPTA terus menjadi serba salah dan buntu serta tidak tahu membuat keputusan.

    Walaupun pencen, saya sempat hadir satu ceramah oleh Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin di Danau Golf Resort UKM dua bulan yang lalu, seorang profesor ulung negara yang tidak asing lagi kepada ahli akedemik dalam dan luar negara, membuat kenyataan bahasa “saya profesor ulung, tetapi saya tidak ada SCOPUS. SCOPUS ini baru dalam sosial sains.” Mengapa kita perlu ikut cara penilaian oleh sains dan teknologi?

    Seorang rakan lama saya yang berkhidmat di satu institut pemnyelidikan di bawah pimpinan Profesor Ulung ini tidak mengambilkira jurnal SCOPUS atau ISI sebagai syarat untuk menjadi profesor. Dengan itu, rakan profesor madya ini telah dinaikkan sebagai profesor.

    Tetapi di universiti yang sama, Dekan Fakulti Sains Sosial, yang buakn Profesor Ulung, mewajibkan jurnal SCOPUS dan ISI serta menolak BUKU terbitan pensyarah atau Bab dalam Buku yang diterbitkan oleh pensyarah sains sosial. Malang tak berbau, jawatan beliau sebagai Dekan dengan notis 24jam dan kemudian berpindah jawatan menjadi Pengarah di sebuah Institut. Tetapi penamatan jawatan itu bukan kerana beliau tidak mahu menerima BUKU sebagai kriteria penilaian naik pangkat ke jawatan tinggi tetapi kerana sebab yang semua orang tidak tahu kecuali Menteri Pengajian Tinggi dan pentadbir universiti berkenaan.

    Selagi mana kriteria sains digunakan untuk menllai kecemerlangan sains sosial, selagi itulah universiti menjadi kalut. Lebih ramai pensyarah akan meninggalkan menara gading kerana ketidapuasan terhadap pengurusan dan pentadbiran universiti. Kalau bercakap tentang gaji, bekerja di luar dari universiti akan memberi pulangan wang yang berganda, tetapi saya saya kebanyakan pensyarah yang terus tinggal di universiti tidak menjadikan wang sebagai matlamat tetapi kesarjanaan dan pemartabatan ilmu sebagai matlamat. Apabila semangat kesarjanaan dan pemartabatan ilmu ini ditekan dan dihina, maka apa lagi nilai yang ada di universiti.

  4. Siti Zaharah July 23, 2011 at 5:29 am Reply

    Assalamu`alaikum,

    Tahniah Prof. Jusa B kerana menulis sebegitu.

    Dominasi Barat

    Memang dominasi Barat terus menguasai kita tak kira dalam bidang mana sekalipun. Apakah kita tidak boleh mencorakkan IPT kita dengan acuan kita tanpa menolak menjadikan universiti ternama luar negara sebagai kayu ukur? Mengapa “rangking” universiti terlalu diutamakan sehingga menolak asas dalam menentukan sesuatu bidang? Seorang kenalan saya ingin melanjutkan pengajian dalam bidang Kewangan Islam di salah sebuah institusi di UK namun ditolak kerana “rangkin” institusi tersebut tidak berada di 10 teratas sedangkan institusi ini memiliki kepakaran dalam bidang berkenaan.

    Cuba semak mana institusi 10 teratas di UK yang terkenal dengan “Islamic Finance”?

    Namun kerana kegilaan “ranking” menjadikan pentadbir IPT mengkesampingkan kepakaran sesuatu institusi.

    Demam Harvard

    Terkini ialah demam Harvard. Sebut Harvard meleleh air liur sesetengah pentadbir IPT. Tak kira siapa, asalkan ada kaitan dengan Harvard, mereka jadi sanjungan hingga sanggup berbelanja jutaan ringgit untuk menjemput mereka datang. Pensyarah dikerah mendengar syarahan mereka namun hasilnya? Ada lulusan Harvard yang pernah menjadi Timbalan Gabenor BNM tidak pulak diminta untuk menyampaikan ucaptama di IPT sedangkan dia lebih memahami suasana semasa.

    Gaji pensyarah

    Entahlah. Saya pernah terdengar kata-kata bekas Timbalan Menteri yang menyebut bahawa pensyarah ni golongan pembangkang. Mungkin itulah sebabnya skim gaji mereka tak pernah disemak semula.

    Terkini ialah kenaikan pangkat ke DS52. Rata-rata mereka yang dinaikkan pangkat ke DS52 pasca 2008 merasa teraniaya kerana mereka dinaikkan ke P1T1 sedangkan mereka yang dinaikkan ke DS52 pada tahun 2008 mendapat gaji di tangga P1T4. Alasan yang pentadbir IPTA berikan ialah keistimewaan P1T4 hanya “one-off”. Apa tindakan KPT?

    Professor

    Ramai kalangan pensyarah yang semakin hilang keinginan untuk memohon jawatan Jusa C ni kerana syarat yang terlalu ketat. Tapi yang peliknya, mudah pulak IPT melantik Professor dari luar. Ada yang tak pernah menjadi pensyarah dilantik ke jawatan Professor hanya kerana mereka pencen sebagai Jusa. Di mana letak sebenarnya nilai “Professor?”

    Sedihnya, ramai pensyarah yang dah mengajar lebih 20 tahun pencen DS45 sebab syarat yang terlampau banyak.

    Anehnya KPT terus mencanang yang skim pensyarah adalah skim terbaik.

    Wassalam.

    Di tepi Bangi.

  5. zufri August 23, 2011 at 7:02 am Reply

    Emmm…kena atas batang hidung saya sebagai akademia baru- belum lagi pensyarah walaupun dah ada PhD- . Seksa sungguh hidup ini!

    Di UM semua ini dipraktikkan. Kayu ukur Barat. Untuk rangking sanggup buat apa saja…hingga dalam kuliah saya…pernah saya berseloroh dengan pelajar2…’kalau rangking itu dikira berdasarkan jumlah pelajar yang berbogel datang ke kuliah…nescaya anda semua juga akan dipaksa berbogel..!!!

    Tutor PhD.

  6. Pensyarah Muda September 3, 2011 at 11:43 pm Reply

    Terkini

    Dimanakah letaknya orang bijak pandai? Adakah golongan ini pemimpin? Atau hanya layak menjadi kuli? Adakah mereka tidak cukup pandai untuk memimpin? Lihatlah dunia sekarang siapa pemimpin? Adakah orang cerdik pandai? Ya..orang yang hanya pandai menabur kata, seolah-olah mereka pandai dalam segala hal. Layakkah jurutera menjadi pepimpin? Tidak, kerana mereka hanya pandai bidang kejuruteraan, bila persamaan 1+2=3, ia tidak akan berubah menjadi angka lain. Tetapi sekarang sudah ramai pepimpin universiti dipegang oleh golongan yang bermula dari pensyarah. Harapkan ini akan mengubah nasib pensyarah tetapi sebaliknya makin parah. Seolah lupa daratan dimana asal usulnya untuk membela nasib pensyarah.

    Pensyarah muda memang tiada hak untuk berkata, jika berbunyi hanyalah seperti semut yang menyalak. Kuasa pendaftar amatlah besar, mereka yang mengawal golongan pensyarah, tetapi apakah kelayakan mereka? Walaupun melepasi syarat kenaikan pangkat dengan nilai lebih >80 tetapi hak masih dinafikan. Alasanya hanya kerana kami berkhidmat kurang dari 5 tahun. Sedangkan pensyarah yang telah berkhidmat lama, hanya perlu melepasi markah >60. Adakah ini sistem yang adil? Dalam masa singkat 5thn dengan sekadar markah 60 layak dinaikan pangkat. Sistem apakah ini? Lebih baik duduk goyang kaki, lakukan hanya ala kadar, sampai masa, naik pangkat. Buat apa kami menolong universiti mengejar bilangan jurnal sedangkan jasa kami langsung tak dihargai. Disini sekali lagi orang bijak pandai dikulikan. Kami hanya perlu duduk diam, dan berwirid kami yang menurut perintah.

    Pensyarah muda..

  7. Pak Kebun September 21, 2011 at 5:55 pm Reply

    Sememangnya ini realiti dunia akademik, seorang yang pencen prof madya boleh dilantik jadik Prof di sesebuah universiti lain atas bidang kuasa TNCA tanpa perlu ada apa2 peer review…
    ada juga yang dilantik sebagai profesor hanya semata2 kerana gajinya di agensi kerajaan lain telah mencapai gaji setahap profesor, jadi masuk ke universiti,. dapat tittle professor sedang yang lain barangkali ‘menangis air mata darah’ belum tentu dapat tittle tersebut…

    Kenaikan pangkat di IPTA mmg zalim, walaupun kononnya akademik tiada had bagi kenaikan pangkat namun, siapa kata apa kah ini yang berlaku?
    saya tak mahu sentung tentang kenaikan kepada Prof Madya atau Prof..hanya sekadar berkongsi tentang kenaikan dari DS45 ke DS 52….kalau di sekolah samapai tempoh 10 tahun automatik akan naik dari DG 41 ke DG 44, namun di IPTA jangan la harapkan sebegitu. Kenaikan dari 45 ke 52 sangat gila…(kerana autonomi Universiti), tiada syarat yang tetap…

    Saya sangat bersetuju andai syarat Phd dikenakan, jadi sesiapa nak ke 52 perlu ada Phd. Namun, ini hakikat dunia,,syarat ini hanya dikenakan kepada orang 2 kecil yang tiada apa2 pengaruh dan tak pandai mengampu…maka perlulah ada PHd untuk ke DS 52, Sedang dalam masa yang sama ada pensyarah yang tiada Phd, tiada research tapi pandai main Golf dapat DS 52, ada yang pergi Phd dan semasa buat PhD dapat 52, ada pula yang pergi PhD tadi tak dapat PhD tapi diberi 52, malah yang paling kritikal ada yang diberi 52 sebelum buat Phd..maka wujudlah istilah bila nak buat Phd? lepas dapat DS 52 dulu..

    Saya percaya rezeki adalah ketentuan Allah…namun syarat yang tidak adil sesama pensyarah dalam urusan kenaikan pangkat amat menedihkan…

    dan paling seronok, kini gelaran Prof hanya jadi bahan lawak bila ama diketahui banyak prof pencen berpindah ke universiti baru hanya semata-mata nak kekalkan tittle Prof dan nak elak KPI yang tinggi di universiti asal…

    Jika tak percaya? cuba semak di IPTA (Selatan Perak) dan kira jumlah profesor pencen yang tiada student Phd dan tiada apa2 research di sana..percayalah…anda akn jumpa sesuatu yang melucukan…

    -Pasca Siswazah di Bangi-

  8. Lu vie October 12, 2011 at 2:48 pm Reply

    from someone, sent t me via e-mail:

    Assalamualaikum,
    >
    > Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada yang telah banyak menulis dalam Jurnal Scopus/ISI.
    >
    > Saya hendak menghuraikan sedikit mengenai HANTU BONCENG sempena movie yang diarahkan oleh Ahmad Idham. Sebenarnya dalam spesis-spesis hantu tiada nama hantu bonceng ni. Selalu kita dengar hantu raya, hantu tinggi, pocong, pontianak, kuntilanak, toyol etc. tiada pernah di dengar HANTU BONCENG. Maknanya hantu bonceng identitinya tiada. Tiada dalam jabatan pendaftaran hantu-hantu dsbnya. Tiada identiti dan tiada personaliti. Bidang tugas pun tidak jelas apa tah lagi bidang kepakarannya.
    >
    > Dalam menulis jurnal Scopus dan ISI ini tidak lari dari golongan HANTU BONCENG ni. Menumpang nama penulis di hadapan tanpa memberi sumbangan kerana atas dasar kawan-kawan dan geng. Hatta hantam saja apa pun bidang asalkan ada SCOPUS dan ISI.Dalam jangka masa panjang Hantu bonceng ni bermasalah kalau mohon profesor madya atau profesor. Tiada identiti keilmuan. Bidang apa pun tak boleh. Malah tidak termasuk dalam senarai hantu-hantu tadi. Jadilah profesor madya atau profesor serba tahu. Sebenarnya tak tahu apa-apa. Apa pun tak boleh. Rugi universiti penyelidikan.
    >
    > Renungkan lah untuk masa depan Universiti Sebagai Gedung Ilmu. Menghalalkan cara bukan budaya di Universiti. Apatah lagi taktik tipu-tipuan dan bonceng-boncengan.

  9. Pejabat MOHE November 1, 2011 at 3:32 pm Reply

    Syarat Penerbitan Bahasa Melayu Untuk Pensyarah Naik Pangkat:
    Martabatkan bahasa Melayu di IPT
    Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
    pengarang@utusan.com.my

    PUTRAJAYA 27 Okt. – Penerbitan buku atau bahan akademik dalam bahasa Melayu akan dijadikan sebagai salah satu kriteria untuk perjawatan dan kenaikan pangkat ahli akademik di institusi pengajian tinggi (IPT).

    Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu diambil bagi memperkukuhkan lagi bahasa Melayu dalam konteks pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan.

    Menurutnya, pendekatan itu juga secara tidak langsung akan mengambil kira soal pengiktirafan, pembangunan dan kemajuan kerjaya ahli-ahli akademik.

  10. dean October 16, 2012 at 7:47 am Reply

    mengejar rangking ini satu perkara paling bodoh yang saya penah dengar. but this is acceptable since orang yg buat policy ini (orang KPT) yang ilmu pengetahuan terlalu cetek.

    omputeh kata, ‘your reputation preceed u’, bermaksud, seseorang itu, atau sesuatu entiti itu akan lebih dikenali dgn kehebatan dia walaupun orang xkenal muka dia. Semacam orang kata latin music sampai ke pelosok eropah, asia sblm orang latin sampai. dalam dunia akademi xwujud kataerti utk ‘sell yourself’. perkataan ini hanya wujuk dalam dunia kapatalis, digunakan dalam kontek mencari pekerjaan. orang ilmuan mesti tgk kebawah, humble. rangkin itu hanya benda semacam side income, kalau kita punya univ dapat strengthen those basics (infrastructure, fairness to staff, fairness to student, etc), rangkin tu akan datang sendiri, tanpa perlu diundang.

    sekarang ini lagi parah, dalam proses nk kejar rangking, universiti penyelidikan (um, upm, ukm, usm, utm) telah mengurangkan pengambilan pelajar undergraduate. alasan, nak samakan ratio antara kemasukan pelajar postgraduate dan UG kepada one to one. tetapi adakah mereka lupa bahwa universiti ada kontrak sosial dgn masyarakat, yaitu, mengambil dan menghasilkan graduat yang berjaya seramai yang mungkin. Sudah lupa agaknya! Setengah universiti pula rasa bangga dgn bilangan pelajar PG yang dihasilkan (quantity) sedangkan kualiti entah kemana. Kita xblh nak tiru universiti kat luar negara macam US, europe. dorang blh la amek sedikit plajar sbb dorang ada ribu universiti. kita kat m’sia ni ada puluh univerisiti sahaja. so xkan nk humban ramai kat uitm, dan univ yg baru. sepatutnya pensyarah yang experience dr univ yang lama2 ni la yang ajar mereka, baru la student tu dpt blajar dgn penuh, univ pon dpt produce high quality(not quantity) student.

    pasal KPI plak, kita terlalu taksub dgn nombor. nak tulis byk paper, mengajar, tggjwb sosial, etc.. sume masuk KPI.. yg paling interesting, perihal menulis article.. (baca la kat atas tu, xperlu sy ulang). dgn plagiarism, hantu bonceng, etc.. geli rasa. amerika punye econonomy terlalu taksub dgn nombor, so tgkla hutang dorang skarang ni berapa.. gdp, fdi, abc, def.. kita orang islam ni kene tgk pada qualiti bukan quantiti. there is only one and only benchmark, islam, iman n ehsan.

    we, as a country needs a serious revamp in every angles. politics, academics, economics, etc… yang paling penting orang yang bertanggungjawab membuat polisi mestilah orang yang berakal panjang, kalau tak, limbo la oranng melayu seperti sekarang.. byk keputusan yg dibuat selalu berubah2 dari hari ke hari, universiti polisi ni dah jadi macam lab engineering, buat experiment, tukar parameter, buat lagi.. dan lg, dan lg.. adussssss…. kesian…

    inilah jadinya kalau penternak pon xbrape cerdik.

  11. Hailmi October 18, 2012 at 12:54 pm Reply

    Boleh tak saya share artikel ini dan bolehkah saya mohon sumber tuan. Thanks

    • albangi October 18, 2012 at 11:20 pm Reply

      Silakan…terima kasih

  12. Nat October 18, 2012 at 3:07 pm Reply

    Salam..jika penulis mengizinkan, bolehkah saya share perkara ini di laman blog saya .. ? (kredit bagi penulis asal)

    • albangi October 18, 2012 at 11:20 pm Reply

      Silakan…dan terima kasih

  13. SL October 19, 2012 at 10:15 am Reply

    Pembaharuan pertama yang perlu dilakukan adalah untuk hentikan penghantaran pelajar postgrad ke UK dan Australia, di mana kualiti penyelidikan adalah agak bawah par berbanding negara2 seperti Jerman, Sepanyol, Jepun atau Korea. Walaupun bahasa adalah sumber masalah pertama, tetapi ianya boleh ditolak tepi melalui kerjasama antara Universiti2 di negara2 tersebut dgn KPT/MOHE. Yang kedua, grant penyelidikan dan participation ke conference perlulah ditambah. Kalau setakat 500 Ringgit setiap tahun, nak hantar paper pun kena fikir dua kali.

  14. SL October 19, 2012 at 10:21 am Reply

    ISI, SCOPUS, JCR dan TIMES magazine hanya mengharapkan fundings dari Barat. Jadi tidak hairan kalau universiti seperti Oxford dan Harvard, Columbia dianggap “tersohor”. Di Malaysia pula, kita masih dengan mentaliti penjajahan di mana pengajian di Universiti semuanya di dalam Bahasa Inggeris, sampai bahsa sendiri boleh lupa.

  15. jaws October 29, 2012 at 1:08 pm Reply

    sblm kita ubah dasar, apa kata kita ubah orang yang buat dasar dulu.. c u in the next pru!

  16. azure_honey December 12, 2012 at 2:47 am Reply

    Term yang menarik iaitu “Sarjana Gotong-royong” dan “Penerbitan Timbang Kati”. Setuju dan memang berlaku pada mana-mana universiti. Bukan sekadar untuk mendapat imbuhan tetapi juga untuk mendapatkan gelaran Professor. Bagaimana hendak menjadi Professor jika cara supervising masih lemah dan penulisan tidak dapat dibuat dengan alasan ‘sangat sibuk’. Kadang-kala ada research assistant yang dikerah untuk membuat penulisan tanpa disemak hasil kerja yang dibuat dan terus diarahkan untuk hantar ke publication. Ini adalah orang-orang yang tidak amanah walapun mempunyai tahap akademik yang tinggi.

  17. Pensyarah 3 bulan November 16, 2014 at 5:49 am Reply

    Saya pensayah yang memegang PhD. Tapi tidak diiktiraf sebab dibayar gaji DG45 dengan berstatus kontak selama setahun. Dalam masa setahun tersebut saya perlu menerbitkan 5 artikel ISI jika tidak saya tidak naik pangkat bahkan mungkin tidak disambung – kontrak tamat. Hakiktanya saya dah hilang arah walaupun baru 3 bulan bekerja. Macam mananak terbitkan jurnal dalam tempoh yang sesingkat itu. Saya cuma ada Allah, itu saja..

    • Albangi November 17, 2014 at 11:38 pm Reply

      Ini peraturan oleh orang tidak siuman. Samada bos itu tidak siuman atau IPTA tidak siuman dengan peraturan yang tidak masuk akal.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: