More on BERSIH 2.0 The brutality of the police

Picture and Videos on police provocations and their brutalities?

3 thoughts on “More on BERSIH 2.0 The brutality of the police

  1. Doktor Hospital Tung Shin PUDU July 13, 2011 at 4:46 pm Reply

    Doktor bidas polis kerana serangan di hospital

    Sekumpulan doktor kanan dan pakar perubatan telah mengeluarkan kenyataan membidas kerajaan berhubung ‘serangan polis’ ke atas peserta perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu lalu di dua buah hospital.

    Sehubungan itu, dalam satu kenyataan media kepada organ rasmi PAS Harakahdaily hari ini, doktor berkenaan yang bertugas di Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin Cina di Jalan Pudu berkata mereka akan mengemukakan afidavit bagi menyokong hujah bahawa hospital diserang.

    Mereka mendakwa tindakan polis pada Sabtu lalu jelas mencabul pengiktirafan antarabangsa apabila hospital sebagai tempat santuari diserang.

    Malah menurut sebeles doktor berkenaan, semasa peperangan hospital juga tidak akan diserang tetapi dalam kes di Malaysia, polis memasuki bangunan hospital bagi mencari peserta yang melarikan diri daripada tembakan gas pemedih mata dan pancutan air berkimia.

    “Apa yang paling menakutkan dan disaksikan ramai bahawa serangan yang tidak dihasut itu berlaku di kawasan hospital dan beberapa peserta masuk ke hospital bagi mencari perlindungan daripada tembakan gas pemedih mata dan pancutan meriam air,” kata mereka.

    Ini adalah reaksi pertama oleh sekumpulan pakar perubatan berikutan penafian pihak polis dan kerajaan bahawa tidak ada gas pemedih mata dilontarkan ke perkarangan hospital pada 9 Julai lalu.

    Isnin lalu, menteri kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata polis tidak menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah Hospital Tung Shin ketika menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0.

    Katanya, dakwaan yang berlegar di media internet berhubung tembakan ke arah hospital itu adalah tidak benar.

    Liow juga berkata sebenarnya polis menembak gas pemedih mata itu ke arah jalan besar dan asap berkenaan mungkin dibawa angin ke arah hospital berkenaan.

    Beberapa rakaman video dan gambar yang dikemukakan terus diperlekehkan oleh kerajaan termasuk anggota jemaah menteri.

    Menurut kesebelas-sebelas doktor berkenaan, pihak berkuasa tanpa rasa malu terus menafikan serangan itu di sebalik pelbagai bukti yang dikemukakan dan ramai saksi yang tampil membuat pengakuan.

    Kenyataan media itu ditandatangani oleh Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Macoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong.

    “Adalah menjijikkan pihak berkuasa yang diamanahkan tanggungjawab kepolisian menjaga negara dan melindungi mereka yang lemah, tanpa rasa malu menafikan perbuatan mereka secara umum, di sebalik kejadian itu disokong banyak gambar, video dan pengakuan saksi termasuk pemerhati berkecuali,” kata mereka.

    Doktor-doktor itu berkata mereka tidak berhasrat menyertai polemik selepas perhimpunan itu, tetapi sebahagian daripada mereka yang sedang bertugas ketika kejadian, bersedia memberi keterangan bersumpah, jika diperlukan bagi memberitahu apa yang sebenarnya berlaku.

    http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=17887#573691

  2. Chen Shu Yong July 14, 2011 at 10:01 am Reply

    Catatan seorang peserta Cina: Saya rasa selamat bersama orang PAS

    Chen Shu Yong | Jul 12, 2011 06:36:14 pm

    … Seorang pakcik yang berkopiah menuju ke arah saya, “Di manakah stadium?” Saya menuding jari ke depan. Lantas beliau berjalan ke arah sana, tanpa sebarang keraguan. Saya merasakan diri saya amat tidak berguna pada ketika itu. Mengapa tidak saya bertindak sebagaimana pakcik itu? Berarak adalah hak kita. Mengapa pula saya takut? Saya tetap berdiri di situ, menyaksikan bagaimana orang tua itu dihalang polis, dan kemudian beliau terus berjalan ke depan.

    Kemudian saya berjalan, dan terserempak dengan seorang polis muda. Beliau bertanya untuk apa saya berada di situ, saya sekadar jawab, tak ada, cuma jalan-jalan. Beliau menunjuk ke arah Jalan Sultan, mengarahkan saya beredar dari situ, atau saya akan ditangkap. Saya tahu beliau cuba menakutkan saya. Masih awal lagi, saya tidak mahu timbul hal, maka saya pun beredar.

    Saya nampak sekumpulan orang di kedai KL Commercial Book Co., semacam orang PAS, maka saya berjalan menuju ke arah mereka. Pada hakikatnya, saya amat yakin dengan mereka. Saya rasa diri saya berselindung di dalam kelompok mereka pada ketika itu. Ya, saya rasa sangat selamat.

    Pada kira-kira jam 12.20 tengah hari, kelompok di sini hanya kira-kira 20 orang. Tiba-tiba kami dengar jeritan orang, dan kami bergegas ke situ dan mendapati kira-kira 2,000 orang. Mereka muncul entah dari mana, sungguh ajaib! Tapi kami masih menganggap bilangan ini terlalu sedikit!

    Pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya tak berapa ingat lagi. Kami nampak sekumpulan manusia menuju ke arah kami melalui Jalan Sultan, sambil melaungkan slogan. Bilangan mereka terlalu ramai berbanding kami. Ramai orang tua yang bertanya, PERKASA? Pemuda UMNO? Kami berdiri di situ dan memandang, gagal mendengar apakah yang dilaungkan.

    Tiba-tiba, ada yang bertepuk tangan, berkata “Tengok, Cina ada, India ada, bukan PERKASA, bukan Pemuda UMNO, orang kita!” Kami bertepuk dengan gemuruh, berarak ke arah mereka untuk berkumpul bersama. Kami seolah-olah dapat membentuk pasukan kami, dan tidak lagi keseorangan atau kesepian.

    “BERSIH! BERSIH! Hidup BERSIH!” Ribuan yang membanjiri Jalan Sultan. Orang berada di tengah dan di tepi jalan, warga tua dan warga muda. Maka kami terus berjalan, tidak memasuki jalan ke arah Stadium Merdeka. Saya sedar, bilangan kami masih tidak mencukupi. Kami menuju ke arah Pudu Raya, dan di situ telah dibanjiri lautan manusia yang lebih daripada 10 ribu.

    Abang saya menghantar sms kepada saya, memberitahu bahawa pasukan di Hotel Hilton telah mula bertolak. Dengan serta-merta saya berkongsi maklumat ini dengan orang yang berada di sisi saya.

    Kira-kira jam 1 tengah hari, kami nampak satu pasukan yang lebih besar, kemas susunannya berarak dari arah Hospital Tung Shin. Kemudian, muncul lagi satu pasukan dari Kota Raya. Tidak berhenti kami bertepuk tangan. Kami menjerit sepuas-puasnya. Saya nampak ramai yang menakung air di matanya. Saya amat terharu. Saya kini berada di tengah-tengah belasan, malah puluhan ribu orang. Saya tidak kesepian, kami tidak kesepian!

    Terharu kerana dibantu orang yang saya tidak kenal langsung!

    Kami berkumpul di depan Menara MayBank. Saya tak dengar apa yang diucap pemidato. Tapi saya hanya seorang penyokong. Saya hanya menyorak bersama kelompok manusia, bertepuk tangan apabila semua orang berbuat demikian.

    Kemudian saya mendapati trak FRU. Seorang warga tua, mungkin dari PAS, memesan agar saya undur dahulu. Tidak lama kemudian, FRU melepaskan gas pemedih mata, dan meriam air kimia yang berwarna biru. Saya rasa macam tersengit. Baunya sangat tidak menyenangkan. Orang di sisi saya (sahabat dari kaum lain) menuangkan air ke atas kepala saya. Ada seorang yang menyapu minyak angin di bawah kelopak mata saya. Ada pula yang memberi garam kepada saya.

    Saya teringat, air mata saya mengalir pada ketika itu bukan disebabkan gas pemedih mata, tetapi mengalir kerana terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh orang-orang yang saya tak kenal ini.

    Pada ketika itu saya nampak polis, kononnya, menangkap orang ramai di depan Menara MayBank. Ramai yang memanjat ke atas di cerun pada mulanya, kemudian mereka melompat dari tembok yang tinggi. Saya sangat marah ketika itu, kerana saya nampak ramai wanita dan warga tua. Dan mereka yang kononnya polis itu dicemuh dalam hati saya, “Bukan manusia!”

    Saya berehat seketika. Saya menjangkakan bahawa orang ramai akan menuju ke Jalan Sultan. Maka, saya berjalan dahulu ke arah sana. Apabila berdekatan dengan KFC, hujan mulan turun. Seorang peserta yang tua berkata kepada saya, “Komunis pun tak macam ini!” Saya tercengang seketika, gagal memberi apa-apa jawapan….

    Matlamat sama..

    Pada sebelah malam, saya dimaklumkan bahawa kawan dari kaum Melayu amat terharu dengan kehadiran kami. Mereka berkata, “Itu kebanggaan kami apabila kamu muncul bersama. Kamu duduk belakang sikit, biar kami yang hadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan di depan!”

    Nota: Akhirnya saya sedar, mengapa saya berselindung dalam kelompok orang PAS. Mereka membuktikan dengan tindakan mereka, itu yang membuatkan saya terharu dan berasa selamat. Lain kali, saya tetap akan bersama mereka, berada di garis depan, untuk menghadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan.

    Terima kasih, sahabat semua. Walaupun kita tidak berkenalan, tapi matlamat kita sama. Dan ini hanya boleh dirasai mereka yang hadir dalam perhimpunan.

    Saya menyeru agar lebih ramai bangkit dari tidur, dan mereka yang sudah sedar, biarlah bertindak.

    Baca: Kisah 709 seorang paderi: Air mata saya mengalir demi tanahair ini

    Baca: Catatan seorang penuntut IPTA: Polis beri isyarat sertai perhimpunan?

    Baca: Lagi catatan seorang peserta Cina: Saya terpegun melihat polis memukul Melayu

    *Tulisan di atas disedut, disunting dan diterjemah daripada catatan seorang pembaca MerdekaReview, edisi bahasa Cina, yang menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011. MerdekaReview akan memilih beberapa lagi tulisan untuk diterjemahkan, dan mengalu-alukan tulisan daripada pembaca. Sila email kepada editorial_bm@merdekareview.com. Terima kasih.

    Sumber: http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=12075#.Th3Gw-qjpTQ.facebook

  3. Daniel Low July 14, 2011 at 10:08 am Reply

    Saya masih ingat, semasa zaman sekolah rendah, seorang budak Melayu yang gemuk dan comel menjadi sahabat baik saya. Bersama kami pergi dan balik dari sekolah, bersama kami bermain guli, buat bising, bersorak. Ada sekali dia memberitahu emak saya bahawa saya membeli makanan ringan secara senyap-senyap di sekolah, dan saya dimarah emak saya selepas itu. Saya sangat marah pada ketika itu, namun akhirnya saya berbaik-baik juga dengannya.

    Namun, sepanjang saya membesar, saya disosialisasikan dalam masyarakat Cina di Malaysia. Ada perkara yang didedahkan kepada saya. Maka kasih dan sayang saya pada kaum Melayu berbaur dengan rasa benci. Benci dan ketakutan menyelubungi saya untuk 20 tahun. Dan pada 9 Julai 2011, kebencian dan syak wasangka saya terhadap orang Melayu yang terpendam dalam hati saya telah di-nyahkan!

    Empat hari sebelum perhimpunan, saya mengambil keputusan untuk menyertai perhimpunan ini. Yang paling membimbangkan saya ialah keluarga dan teman wanita saya. Saya yakin mereka tidak akan bersetuju dengan saya. Untuk dua hari saya runsing hal ini. Akhirnya saya membuat cubaan berani untuk mengajak teman wanita saya pergi bersama. Saya memberitahu bahawa itu kekuatan yang diletakkan Tuhan dalam hati saya. Saya harus berbuat demikian. Anggaplah kami pergi dating sambil berarak. Saya telah bersedia untuk dihujani teguran atau nasihatnya.

    Dia tanya kepada saya, betul nak pergi? Saya jawab, “Betul…” Dan dia bersetuju dengan saya! Pada saat-saat itu saya terperanjat, menatapnya dengan mata yang terbeliak. Kemudian ketakutan mula menular dalam hati saya. Kerana, betul kami nak pergi ni….

    Kami adalah penganut kristian. Kami berdoa sebelum bertolak. Semestinya kami rasa gelisah dan takut. Pernahkah kami goyah? Ya, malah sepanjang perjalanan dari Rawang ke Kuala Lumpur dalam komuter, kami masih tertanya-tanya dalam perbualan kami, betulkah pilihan kami untuk menyertai perhimpunan ini? Bagaimana kalau kami ditangkap? Tapi rasa terharu dalam hati kita itu akhirnya mengatasi ketakutan yang menghalang kami untuk terus mara.

    Wanita Melayu yang hamil

    Ada satu adegan yang membuatkan kami amat terharu. Sepasang suami isteri Melayu muda memakai “baju kuning” bersama, dengan si isterinya yang sudah mengandung. Mereka menggalas misi yang cukup penting untuk ke dalam pusat bandar. Si suami menunggu di luar bilik air sementara isterinya di dalam. Saya nampak kegusarannya. Beliau memegang kedua-dua tangannya dengan rapat, mencangkung di situ. Sebaik sahaja isterinya keluar, beliau bangkit dan memegang tangan isterinya, dan sama-sama menaiki jejambat.

    Di penghujung sana kelihatan sekumpulan anggota polis sedang menunggu. Kesudahannya diduga. Pasangan suami isteri tadi tidak diberi laluan. Walaupun saya nampak mereka agar terkilan, tetapi saya yakin mereka tidak pasrah begitu sahaja. Cuba fikirkan, apakah yang mendorong seorang isteri yang hamil untuk mengambil risiko bersama suaminya? Takkan mereka tidak sedar bahawa diri mereka mungkin ditangkap, dibelasah? Tapi siapa yang sedar, apa yang mereka terpaksa berkorban, untuk tujuan ini?

    Kami pula diberi laluan, kerana berpakaian putih. Sepanjang jalan kami dapati banyak trak polis, tetapi tidak sempat untuk dikira berapa bilangannya. Ini gambaran yang hanya dapat ditonton dalam filem. Ramainya polis, tetapi saya langsung tidak merasakan diri saya selamat!

    Jalan raya menjadi sunyi dan sepi. Kami seolah-olah sampai di kawasan bencana. Air muka manusia juga pelik. Semacam hari kiamat.

    Kami melangkah dengan cepat, akhirnya sampai di kawasan berdekatan dengan Hospital Tung Shin. Tak sempat kami berkumpul dengan kelompok manusia di sana. Sebaris trak polis berhenti di situ. FRU berbaris membentuk tembok halangan, seolah-olah untuk melindungi kami. Tapi kami sedar apa tujuannya. Kami gagal melakukan apa-apa mendengar jeritan dari orang di sebelah sana.

    Berkecai konsep “kerajaan tolong muslim sahaja”

    Pada ketika ini, saya melepaskan tangan teman wanita saya. Saya melangkah ke depan. Kerana saya ternampak satu adegan, yang membuatkan saya malu dengan diri saya. Dengan mata sendiri saya menyaksikan bagaimana seorang muslim (beliau berkopiah) ditekan ke atas lantai. Beliau disiku bahagian belakang badannya, tanpa beliau membalas. (Bagaimana beliau boleh balas sedangkan beliau ditekan oleh beberapa orang polis?) Ya, beliau dipukul polis, bukan orang lain.

    Hati saya sejuk tiba-tiba. Konsep bahawa “kerajaan asyik menolong muslim sahaja” telah berkecai! Semuanya berkecai. Saya terpegun di situ untuk agak lama.

    Akhirnya kami mengambil keputusan untuk membelok ke Stadium Merdeka. Kami basah kuyup kerana hujan yang lebat. Hati saya juga berhujan. Saya tidak faham, mengapa satu perhimpunan yang aman dijadikan sebegini? Kami hanya mahukan satu sistem pilihan raya yang adil!

    Akhirnya kami sampai di kawasan berdekatan dengan stadium merdeka. Di situ kami berjumpa dengan kawan-kawan kami dari gereja. Hati kami tenang, dengan semangat yang tinggi.

    Saya memandang ke sisi saya. Ada ramai Melayu, India pun ada, malah lebih memeranjatkan, tidak kurang juga orang Cina! Saya terharu ketika kami menyanyi lagu Negaraku bersama. Ini kali pertama saya menyanyi dengan penuh perasaan, begitu terharu. Seterusnya, kami menuju ke Jalan Petaling sambil melaungkan slogan.

    Setelah melalui Jalan Petaling, kami terpaksa berhenti, kerana gas pemedih mata dilepaskan di perhentian bas Klang. Kami rasa tersengit dengan gas itu, malah hampir lemas dibuatnya. Kami berundur dengan cepat, tetapi bukan lintang-pukang. Orang berkongsi garam dan air tanpa mengira kaum. Ini kerana garam dapat meredakan rasa sengit yang disebabkan gas pemedih mata.

    Hampir setengah jam kemudian, kami menerima khabar bahawa ada kelompok manusia yang berhimpun di KLCC. Kami pun menuju ke sana. Jarak perjalanannya jauh. Kami yang keletihan masuk ke dalam kedai 7-11 untuk membeli air. Teman wanita saya kepenatan terus meniarap di meja. Dua orang “uncle Cina” yang turut serta dalam perhimpunan memberi galakan kepadanya, “Ini demi masa depan kita!”

    Akhinya kami gagal sampai ke KLCC. Kedengaran polis sedang melakukan tangkapan. Kami mengambil keputusan untuk balik ke rumah pada kira-kira jam 5 petang. Kami tidak kesal menghadiri perhimpunan ini. Walaupun tubuh kita letih, tetapi hati kita tidak. Saya nak memberi pujian bahawa perhimpunan ini adalah perhimpunan yang berjaya!

    709 adalah “milestone” kita bersama. Apa yang paling diingini saya sekarang adalah berkawan dengan lebih ramai sahabat dari kaum lain. Mereka sebenarnya baik! Saya menyeru agar kita tidak lagi menyerang kaum-kaum tertentu dengan hujah yang simplistik. Kita perlu berkawan dengan mereka, secara ikhlas. Jangan lagi kita asingkan diri sebagai orang Cina, Melayu, India dan sebagainya, yang ada orang Malaysia!

    Saya yakin, mereka pun berkongsi pandangan yang sama. Ayuh orang muda, bangkitlah! Orang muda adalah tiang negara masa depan! Jangan kita meniru sikap penguasa yang buruk dan menyalahgunakan kuasa!

    Baca: Catatan seorang peserta Cina: Saya rasa selamat bersama orang PAS

    Baca: Catatan seorang penuntut IPTA: Polis beri isyarat sertai perhimpunan?

    Baca: Kisah 709 seorang paderi: Air mata saya mengalir demi tanahair ini

    *Tulisan di atas disedut, disunting dan diterjemah daripada catatan seorang pembaca MerdekaReview, edisi bahasa Cina, yang menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011. MerdekaReview akan memilih beberapa lagi tulisan untuk diterjemahkan, dan mengalu-alukan tulisan daripada pembaca. Sila email kepada editorial_bm@merdekareview.com. Terima kasih.

    http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=12082

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: