Hudud: DAP Menentang, UMNO Menolaknya

Pendahuluan : Sumber memahami ajaran Islam

Sesiapa sahaja yang ingin mengetahui Islam secara ikhlas, maka wajiblah mereka membaca dan mengkaji daripada sumber asasi Islam iaitu kitab suci Al Quran dan cara pelaksanaanya melalui hadith-hadith yang soheh. Begitu juga penjelasan daripada para ulama muktabar, sama ada menerusi kitab-kitab tafsir, hadith dan ilmu feqah serta sejarah pelaksanaan oleh kerajaan-kerajaan Islam yang adil, bukannya kerajaan Islam yang zalim.

Tentulah akan berlaku kesilapan dan boleh menyesatkan jika sekadar membaca dari sumber yang tidak benar dan mengelirukan seperti penulisan para orientalis yang tidak beriman atau media yang tidak juga beriman dan budiman. Apatah lagi cuba mendalami Islam menerusi media yang mencampur adukkan hak dan batil, mencampur adukkan terjemahan Al Quran, tulisan-tulisan serta gambar lucah dan keputusan judi nombor ekor untuk mendapat keuntungan wang tanpa mengira halal dan haram.

Begitu juga dari kalangan para ulama contoh daripada ahli kitab yang disumpah menjadi kera, binatang yang bergayut di pokok yang banyak buah yang boleh dimakan. Kalau diberi bunga yang cantik dan harum nescaya diciumnya. Kemudian dikoyak rabak merosakkannya. Begitulah ajaran Islam yang murni juga dikoyak rabaknya, kerana kedudukan dan periuk nasi kononnya.

Keseluruhan surah Madaniyyah (yang diturunkan di Madinah) dan ayat – ayatnya yang menyatakan hukum jenayah Islam di antaranya hukum Hudud. Ketika Islam memerintah negara masyarakat majmuk pelbagai bangsa, penganut berbagai agama dan aqidah menjadi rakyat. Berlakunya perbezaan agama dan aqidah dan mecetuskan perbahasan dengan kalangan bukan Islam secara terbuka.

Allah berfirman dalam al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 120 :

Maksudnya : “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka. Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk Yang benar”. dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu”.

Banyak lagi ayat-ayat yang tegas daripada surah yang lain yang bersifat Madaniyyah, di antaranya jawapan kepada soalan dan tuduhan kaum bukan Islam yang hidup bersama masyarakat Islam, daripada kalangan Yahudi, Nasrani dan kabilah musyrikin yang belum Islam serta kumpulan munafik yang berpura-pura Islam. Mereka adalah kalangan yang tidak ada kuasa pemerintahan dan bebas bercakap tanpa larangan. Ada pun ayat-ayat peperangan adalah bagi menghadapi musuh yang datang menyerang atau membuat persediaan untuk berperang.

Dalam konsep hubungan berbagai kaum, Islam mendahulukan perdamaian dan mengharamkan paksaan dalam berdakwah. Ini kerana paksaan tidak memberi makna Islam yang sebenar, tetapi hanya melahirkan golongan munafik. Allah berfirman dalam Al Quran (al-Hujurat :14) mendedahkan sikap sebenar kaum badawi :

Maksudnya : Orang-orang A’rab(badawi) berkata: ” Kami telah beriman”. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: “Kami telah Islam”. dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Tiada paksaan menerima hudud untuk bukan Islam

Apabila kaum Yahudi yang berpegang kepada kitab suci Taurah, walaupun di dalamnya ada hukum hudud yang sama dalam Al Quran, namun Allah memerintah Rasulullah S.A.W. tidak memaksanya. Firman Allah (al-maidah : 42) :

Maksudnya : Dan jika mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa Yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka (biarkan); dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat memudaratkanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.

Ayat ini antaranya menjadi dalil kepada pada pendapat yang menyatakan bahawa tiada paksaan hukuman hudud terhadap orang bukan Islam sebagaimana pendapat dari mazhab Maliki yang diamalkan dalam masyarakat majmuk di utara Afrika dan Andalusia dan mazhab Hanafi yang berkembang dalam masyarakat majmuk di Iraq, India dan China. Berbeza dengan Mazhab Syafei yang tersebar di tanah Hijaz dan semenanjung arab yang terdiri daripada penganut Islam, ahli kitab dan Majusi.

Saya memuji betapa bijaksana para pendakwah kalangan ulama yang membawa Islam di alam Nusantara termasuk Tanah Melayu. Kerajaan Islam Melaka berabad lalu menyediakan dua undang-undang jenayah sama ada undang jenayah Islam termasuk undang-undang Hudud atau undang-undang adat bagi kaum bukan Islam Hindu dan Budha. Di Kedah masih ada rumah ibadat Hindu Melayu di Merbok yang tidak dimusnahkan oleh kerajaannya. Di Terengganu tempat penemuan batu bersurat yang mencatatkan undang-undang Hudud, masih digunakan rumah ibadat agama Budha dikampung Jeram Terengganu.

Al Quran mewajibkan pelaksanaan yang adil dalam perkara kemanusiaan yang sama dalam konsep Negara berkebajikan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa yang adil dalam menangani hak beragama, berbudaya, bekerja, menangani kemiskinan dan sebagainya.

http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=News&file=article&sid=16002

PAS dan dasarnya

PAS menyatakan dasarnya secara terbuka dan DAP juga menyatakan perjuangannya secara terbuka dan berdailog secara terbuka. Maka PAS dapat bekerjasama dalam perkara yang ada persamaan tanpa melarang dan memaksa dalam perkara yang berbeza. Ada perkara boleh bertolak ansur dan ada perkara yang tidak boleh berganjak. Sabda Rasulullah S.A.W. : “Orang Islam itu wajib bertanggungjawab di atas syarat yang ditetapkan, melainkan syarat yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal”.

Sepertimana juga DAP tidak boleh memaksa ahli PAS meminum arak dan memakan daging khinzir, maka PAS juga tidak boleh melarang ahli DAP dari minum arak dan makan daging khinzir. Perlembagaan PAS mewajibkan memecat sesiapa kalangan ahli PAS yang meminum arak dan memakan daging khinzir. Perlembagaan Umno tidak boleh memecat ahli UMNO yang minum arak bersama MCA , MIC dan Gerakan.

Begitulah nyatanya PAS tidak boleh menghalang DAP menentang Hudud dan DAP tidak berkuasa menghalang PAS menyatakan haknya. Pandangan pimpinan tertentu DAP pula tentulah tidak sama dengan pandangan pimpinan UMNO yang berkuasa selama puluhan tahun di Malaysia ini. Berbeza dengan UMNO yang sudah berkuasa bersama parti-parti rakannya sejak kemerdekaan negara mencecah lebih setengah abad. PAS adalah kalangan Melayu yang tidak lupa dan tidak mudah lupa seperti Melayu UMNO yang mudah lupa.

Sejak awal kemerdekaan PAS memperjuangkan Syariat Allah wajib ditegakkan, termasuklah hukum Hudud. Sejak awal kemerdekaan juga para pemimpin Umno menentang hukum Islam seperti hukum Hudud. Hanya berhukum sekadar yang diizinkan oleh kerajaan penjajah Inggeris. Maka pada masa itu hukum hudud menjadi sasaran dihina, bahkan menganggap politik tidak ada hubungan dengan agama. PAS tetap beranggapan sikap UMNO itu kerana kejahilan dan terus bersabar mengemukakan hujah dan melarang ahli-ahlinya yang melampau dalam menghukum. Hinggalah yang melampau itu melompat ke dalam UMNO. Berkat kesabaran itu maka tidak ada lagi kenyataan menentang secara terbuka di waktu ini. Kenyataannya bertukar kepada menentang secara bersilat gayung seperti kenyataan “Hudud PAS” atau “belum tiba masanya” walau pun berlalu masa setengah abad.

PAS mengemukan undang-undang jenayah Syariat termasuk hukum Hudud diperingkat negeri Kelantan dan Terenganu melalui proses demokrasi. Undang-undang tersebut digubal oleh jawatankuasa khas bersama daripada PAS dan kerajaan negeri melibatkan beberapa ahli Majlis Syura Ulama dan pakar undang–undang seperti Tun Saleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara, al-Marhum Prof Dr Ahmad Ibrahim (tokoh akademik dan ahli PAS Singapura) Almarhum Prof Dr Saedun Awang (tokoh akademik dan Mantan Mufti Brunei Darussalam). Apa yang berlaku ialah, pihak UIA di bawah kerajaan UMNO lah yang mengarahkan kedua tokoh akademik meletakkan jawatan sebagai panel ini, namun urusannya dapat diselesaikan.

Rang undang-undangnya terlebih dahulu dibentangkan kepada umum. Dengan jasa baik YBM Tengku Razaleigh Hamzah, maka dijemput semua parti-parti politik termasuk komponen BN yang dipimpin UMNO dan NGO berbagai agama. Keseluruhannya hadir kecuali BN. Semua pandangan dan kritikan didengar dan dijawab. Selepasnya diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri kedua-dua negeri yang PAS mendapat sokongan majoriti. Akhirnya diperkenankan oleh DYMM Sultan dikedua-kedua negeri. Ada pun pelaksanaannya bergantung mengikut proses perlembagaan di bawah kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Umno. Kalau UMNO boleh meminda perlembagaan mengambil kesempatan kesilapan seorang sultan dengan mengambil kuasa bagi kepentingannya, mengapa tidak boleh menyelesaikan perlembagaan bagi melaksanakan undang Islam?

Hudud ditolak oleh UMNO

Kemudian daripada itu, kerajaan Kelantan mendapat surat amaran daripada Kerajaan Pusat pimpinan UMNO. Kerajaan Terengganu dan Kelantan didakwa dimahkamah oleh pemimpin UMNO kerana undang-undang tersebut. Berikutnya berlaku kempen menakutkan pelabur dan rompakan royalti Petroleum daripada Terengganu melalui usul perwakilan Umno Terengganu dalam Perhimpunan UMNO tahun 2000 dan dinafikan hak Kelantan. Tetapi tidak dilakukan kepada Sabah di bawah PBS dan Singapura ketika dalam Malaysia. Di mana salahnya PAS ?

Inilah dia dua sikap yang berbeza. DAP ditonjolkan sebagai parti yang menentang hudud oleh media arus perdana kawalan Kerajaan BN, dalam masa yang sama hakikatnya ialah UMNO yang berkuasa memimpin kerajaan pusat itu pula juga menolak Hudud dengan rentetan seperti yang saya tulis di atas. DAP menolak hudud dengan menampilkan hujah mereka, manakala MCA pula menolak hudud dengan tempikan tuduhan UMNO hilang akal.

Hakikatnya ialah tema “Hudud” ini telah dan kembali lagi menjadi kitaran isu musim pilihanraya oleh UMNO untuk melaga-lagakan rakyat, tanpa rasa bertanggungjawab terhadap panduan agama Islam yang murni. Sedangkan merekalah yang sebenarnya sekian lama menolak hukum hudud ini !

Sekian untuk pusingan pertama, sila tunggu pusingan berikut kalau ada silat gayungnya.

Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

PRESIDEN PAS

2 thoughts on “Hudud: DAP Menentang, UMNO Menolaknya

  1. Tok Janggut September 2, 2012 at 11:48 am Reply

    Oleh kerana PRU13 sudah makin hampir, kini isu hudud kembali berkumandang. Hanya kerana ianya diluahkan oleh seorang individu yang bernama Karpal Singh, maka habis semua pihak kelamkabut, macam lah Karpal itu boleh mengubah segala situasi dalam negara ini. Ada yang meminta PAS keluar dari gabungan Pakatan Rakyat, ada yang memberi amaran kepada Karpal dan ada yang lebih teruk lagi meminta umat Islam jangan mengundi DAP kerana DAP anti Islam dan menolak hukum hudud.

    Cubalah kita bayangkan, seandainya Nabi dulu dalam usaha menyebarkan dakwah Islam didalam keadaan manusia bukan Islam yang saban hari menghina Nabi, memfitnah Nabi, menuduh Nabi membawa ajaran sesat, memporak porandakan masyarakat dan malahan membaling batu sehingga berdarah, maka Nabi mengambil keputusan untuk menghentikan dakwah dan menjauhkan dirinya dari orang kafir ketika itu, agaknya apa yang akan terjadi? Yang pasti hanya Nabi, isterinya, Abu Bakar dan Ali sahaja yang menganut dan menerima Islam manakalan yang lain-lain termasuk Umar, Khalid Al Walid dan ramai lagi yang menghina ajaran Nabi kekal dalam kafirnya. Malahan Islam tidak akan sampai pada kita sekarang ini dan tidak tahu agama apakah yang kita anuti sekarang ini agaknya.

    Tetapi Nabi tidak bertindak demikian malahan tetap meneruskan usaha dakwahnya untuk memberi kefahaman akan Islam dan syariatnya kepada kaum kafir ketika itu. Itulah sunnah Nabi, ajaran Nabi. Mengapa kita yang baru seorang manusia yang bernama Karpal Singh yang bukan Islam, yang tidak faham akan Islam menolak hudud, kita jadi riuh senegara? Baru sekecil itu ujian, kita sudah melatah dan sudah mengalah. Umat Nabi apa kita ini sebenarnya?

    Mengapa ketika pemimpin-pemimpin UMNO yang menolak malahan mempersendakan syariat Allah tidak pula kita bersuara? Antara pemimpin UMNO dengan Karpal Singh yang menolak hudud, siapa yang lebih bahaya? Tidak menjadi murtad kepada Karpal Singh kerana menghina atau menolak hudud, tetapi boleh menjadi murtad ke orang kepada orang yang mengaku Islam tetapi menghina, menolak dan mempersendakan hudud.

    Sepatutnya kita teruskan dakwah kepada pemimpin DAP yang tidak faham tentang syariat Allah itu. Kenyataan mereka bahawa mereka akan menghalang perlaksanaan hudud dalam negara kita ini, itu hanyalah cakap kosong mereka. Bukankah perlembagaan telah menyatakan bahawa semua penganut agama-agama dalam negara ini bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing? Maka mereka tidak punya hak untuk menghalang kita mengamalkan ajaran agama kita termasuk melaksanakan hukum hudud terhadap masyarakat Islam dalam negara kita ini. Kenyataan sesat puak UMNO yang berhasrat melaksanakan hukum hudud termasuk ke atas rakyat bukan Islam adalah satu usaha untuk mengubah ayat Quran dan hadis Nabi. Ini ajaran sesat dan boleh membawa kepada murtad. Kita cabar UMNO, jika mereka ingin memaksa rakyat bukan Islam supaya dikenakan hukuman hudud juga, maka UMNO patut juga memaksa orang bukan Islam supaya berpuasa di bulan Ramadhan, bayar zakat, solat, pergi haji juga.

    Jika dibandingkan dengan DAP, MCA dan Gerakan yang menjadi sekutu UMNO lebih teruk penghinaanya terhadap hukum hudud itu tetapi tidak pula ulama dan mufti UMNO menyalak! Tidak ada pula ustaz UMNO berani memberi amaran! Ini adalah kerana kenyataan MCA itu adalah penyambung lidah UMNO. Mana-mana tokoh agama yang berani menghentam MCA yang menolak hudud maka sama saja seperti mereka menghentam UMNO. Oleh itu semua jadi syaitan dan iblis bisu dan pekak saja.

    Sepatutnya apabila ada kalangan bukan Islam yang mempersoalkan hudud, kita teruskan usaha memberi kefahaman kepada mereka dan ingatlah kenyataan mereka itu juga patut dianggap sebagai hikmah, kerana apabila ianya menjadi bualan umum yang tidak faham, maka inilah masanya untuk kita terus menerangkan akan kebaikan dan keadilan syariat Allah itu kepada masyarakat. Jika mengundi DAP itu dianggap haram ,maka mengundi UMNO itu lebih seribu kali pula haramnya.

    Seandainya dengan isu ini kita terus menyingkir atau meminggirkan DAP, maka bagaimana untuk kita menyampaikan dakwah kita? Adakah itu warisan dan ajaran Nabi? Ingalah, Islam telah lama tercemar dan dipandang hina orang masyarakt bukan Islam kerana angkara UMNO. Orang bukan Islam tahu bahawa rasuah, riba, judi, arak, zina, menipu, merampas hak orang, menghina agama lain itu haram dan dilarang oleh agama Islam, tetapi itulah yang diamalkan oleh UMNO selama ini.

    Maka UMNOlah punca Islam tidak lagi dihormati, menjadi hina dan tidak dipedulikan oleh orang bukan Islam. UMNO jugalah puncanya akhlak dan aqidah umat Islam rosak. Kenyataan-kenyataan UMNO seperti “Orang Melayu kena bersyukur kerana UMNO telah bagi mereka rezeki”…..”tanpa UMNO orang Melayu sudah lama susah dan merempat”…..”hanya UMNO saja yang boleh menyelamatkan orang Melayu”…dan banyak lagi kenyataan yang membuktikan bahawa UMNO bukan berfahaman Ahli Sunnah Waljamaah kerana kenyataan itu jelas membuktikan mereka menolak atau menafikan sifat “Qudrat” Allah Subhanahu Wataala. Ini adalah fahaman muktazilah yang diamalkan oleh UMNO itu sudah berakar umbi sejak sekian lama dulu dan terus subur hingga sekarang ini.

    Dalam khutbah Idul Fitri baru-baru ini, seorang tokoh agama UMNO berapi-api mengajak umat Islam berpadu, jauhkan sengketa kononya. Apakah beliau lupa bahawa mengapa hati-hati umat Islam susah untuk berpadu sesama sendiri (PAS & UMNO). Apakah beliau lupa hanya Allah saja yang boleh menyatukan hati-hati manusia itu, bukanya UMNO. Apakah beliau lupa akan amaran Nabi bahawa Allah tidak akan sekali-kali menyatukan hati-hati manusia itu sehingga syariat Allah ditegakan dalam negara itu dan pemimpinya adalah dari kalangan orang yang beriman dan bertaqwa. Selagi kezaliman, penindasan, penipuan berlegar dan menjadi amalan pemimpin-pemimpinya, jangan mimpi Allah akan satukan hati-hati mereka itu.

    Hanya orang yang hatinya telah terhijab dari hidayah Allah sahaja yang beria-ia mengajak umat Islam supaya bersatu dengan UMNO yang penuh dengan kezaliman, rasuah, kemungkaran, maksiat dan kesesatan itu. Oleh itu janganlah terpedaya dengan propaganda dan agenda UMNO itu. Mereka itu mendapat nasihat dari zionis (APCO) dan iblis. Jauhkan UMNO dan jangan sekali-kali ada rasa dalam hati kesihan dan ingin undi dan sokong UMNO. Firman Allah dalam Quran “janganlah kamu cenderong kepada golongan yang zalim, nanti kamu akan disambar oleh api neraka”.

    Oleh itu teruskan dakwah kepada puak DAP. Jangan pinggirkan mereka dari memahami ajaran Islam, kerana mereka juga adalah rakyat negara ini, makhluk Allah dan berhak tinggal di bumi Allah ini. Samada mereka beriman atau tidak dengan Allah, itu urusan antara mereka dengan Allah kerana hanya Allah sahaja yang berhak memberi hiday kepada sesiapa yang dikehendakinya sedangkan bapa saudara Nabi sendiri iaitu Abu Talib yang tinggal sebumbung dengan Nabi pun meninggal dalam keadaan tidak beriman dengan Nabi walaupun beliau sangat menyayangi Nabi dan sentiasa melindungi Nabi. Ini adalah kerana Nabi sendiri tidak mampu memberi hidayah hatta kepada bapa saudaranya sendiri kerana hidayah itu adalah milik Allah. Apakah mustahil bagi Allah untuk memberi hidayah kepada Karpal Singh satu hari nanti malahan terhadap pemimpin-pemimpin DAP juga? Sejahat-jahat Umat Al Khattab terhadap Nabi dan Islam, tetapi apabila sampai hidayah Allah, akhirnya beliau mengucapkan kalimah “lailaha illallah” juga akhirnya.

    Pengakuan Tun Mahathir bahawa UMNO/BN itu syaitan adalah tepat kerana memang kerja syaitan itu untuk menyesatkan manusia, ajak manusia kufur kepada Allah, suka melaga-lagakan manusia, batu api, menipu dan suka berbohong. Semua perangai syaitan memang wijud dalam UMNO sejak dulu lagi. Syaitan adalah musuh orang yang beriman. Oleh itu sesiapa yang menyokong dan mengundi UMNO bermakna mereka menyokong dan menjadi pengikut syaitan. Kenyataan Mahathir bahawa beliau hanya sokong hudud Islam bukan hudud PAS hanyalah tipu muslihat dan putarbelit beliau sahaja. Siapa yang tak kenal kaki putar alam ni. Dia hina pencuri jika dipotong tangan, dia perli pembunuh dihukum bunuh dulu….itu hudud PAS ke hudud Islam? Apa bezanya kenyataan Mahathir dan Karpal Singh itu? Sama saja mereka berdua. Yang peliknya ada lagi manusia yang sanggup memuja, memuji, mencium tangan si Mahathir yang kerjanya sejak dulu hanya memperlekeh syariat Allah dan Sunnah Nabi itu. Layaklah mereka dikumpul bersama Mahathir dan UMNO di akhirat nanti bersama Karpal Singh agaknya.

    Hanya manusia yang berakhlak syaitan, berjiwa syaitan, beraqidah dengan syaitan sahaja yang sanggup menyokong dan membela parti syaitan. Mufti, ulama, tok guru, ustaz dan ustazah syaitan saja yang layak bersekongkol dengan parti yang mengaku syaitan. Hanya golongan yang hati, jiwa, darah, pernafasan, degupan jantung, matanya, telinganya, hidungnya, perasaanya, zikirnya, mulutnya yang sealiran dan penuh dengan syaitan sahaja yang sanggup menghina, mempersenda dan menolak syariat Allah kerana itulah janji syaitan sejak dulu dan selamanya.

    Mungkin kerana sudah terlalu lama, sudah berpuluh tahun UMNO bekerjasama dengan syaitan, ikut perangai dan menjadi abdi syaitan dengan judinya, arak, rasuah, perompak harta rakyat, menipu dan menindas rakyat, zina, hiburan melampau, buat fitnah, dedah aurat, belasah rakyat sesuka hati, zalim dan berbagai kerja yang menjadi amalan syaitan, maka kini UMNO/BN dengan rasminya telah diisytiharkan oleh bapa UMNO/BN iaitu Mahathir sebagai ‘PARTI SYAITAN”. Sesuai dan amat bertepatanlah itu. Gembiralah wahai penyokong dan pengundi UMNO/BN. Selamatlah kamu dunia dan akhirat, Na’uzubillahiminzalik.

    Wallaahualam.

    http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=News&file=article&sid=16192

  2. Megat September 25, 2012 at 3:56 pm Reply

    Kajian UM : 42 peratus Cina yakin hudud adil untuk semua

    Ketika masyarakat Cina dikatakan fobia dengan cadangan pelaksanaan hudud oleh PAS, tinjauan Universiti Malaya (UM) mendapati sebanyak 42 peratus responden etnik itu percaya undang-undang Islam itu mampu menjanjikan keadilan kepada semua.

    Hasil tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) itu juga mendapati sebanyak 26 peratus masyarakat India dan 62 peratus Melayu berkongsi pandangan sama.
    Sebanyak 41 peratus responden masyarakat Cina pula menjawab “ya” apabila ditanya adakah perlaksanaan hudud mampu menghalang jenayah daripada berleluasa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: